KUCHING: Sebanyak 91 kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian RM767,171.04 dicatatkan berlaku di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 5 Mei tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah (gambar) berkata, sebanyak 12 orang ditangkap berhubung kes penipuan pinjaman tidak wujud pada tahun ini dalam tempoh yang sama.
"Amaran kepada masyarakat di Sarawak supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan menyemak kesahihan sesuatu perkara yang memerlukan mereka membuat pembayaran pendahuluan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Mustafa Kamal mendedahkan, pada minggu kajian bagi tempoh 29 April hingga 5 Mei tahun ini, sebanyak tujuh kes pinjaman tidak wujud dicatatkan di Sarawak dengan jumlah kerugian sebanyak RM95,520.
"Kecuaian ini boleh mendatangkan masalah baru kepada masyarakat kerana mereka sudah semestinya dalam kesusahan sehingga ingin membuat pinjaman wang tetapi mereka ditipu pula oleh sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini," jelasnya lagi.
Oleh itu, beliau meminta orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui media sosial Facebook, laman sesawang atau melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, WeChat, Instagram dan sebagainya.
Pada masa sama, beliau berkata, masyarakat juga dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi kewangan yang sah, koperasi berdaftar atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen jika benar-benar terdesak untuk membuat pinjaman.
Tegasnya, pinjaman yang dibuat orang ramai ini tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Suruhanjaya Koperasi 2007, Akta Koperasi 1993, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan sebagainya.
Selain itu, katanya, masyarakat juga dinasihatkan agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana pihak sama ada dikenali atau tidak.
"Sekiranya akaun bank tersebut digunakan oleh penjenayah, pemilik akaun jika dibuktikan boleh dituduh di mahkamah.
"Justeru, sekiranya masyarakat mempunyai apa-apa kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu, anda boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-211 1222," ujarnya.
Mustafa Kamal berkata, orang ramai juga boleh melayari portal rasmi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment