KUCHING: Kesilapan lalu harus dijadikan sebagai pelajaran, apatah lagi kesilapan itu bukan dilakukan oleh pemimpin sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sepatutnya apa yang perlu dilakukan oleh Kerajaan PH ialah membaiki kesilapan kerajaan terdahulu.
“Perangai suka sebut kesilapan lama ini juga perangai budak-budak…orang yang mahu maju tidak suka sebut kesilapan lama,” katanya dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri, pagi tadi.
Ujarnya, hanya orang yang bertimbun-timbun kesilapannya yang akan menyerang orang lain dengan menyebut kesilapan lama orang lain yang tidak ada kaitan dengan orang berkenaan.
“Jangan pertahankan kesilapan. Perlu adil. Perlu bergerak ke hadapan. Apa yang patut kita buat ialah bawa pembangunan untuk Sarawak,” kata Juanda lagi.
Jelasnya, dua hari lepas ada pemimpin PH kata ada bajet besar untuk pembangunan Sarawak.
Katanya, mereka mendakwa tidak akan menganaktirikan sarawak.
“Cakap saja. Tunjukkan duit itu kepada saya. Cakap itu mudah. Buktikan. Jangan banyak alasan prosedurlah, polisilah, dasarlah, apa lagilah,” tegasnya.
“Eh, kamu kerajaan, kamu buat polisi, kamu buat kerjalah. Ini macam tong kosong. Ketuk sana ketuk sini, bunyi saja kuat, hasil kosong, kong bo yong,” katanya mengkritik Kerajaan PH.
Juanda berkata, Sarawak kini bukan sahaja seperti anak tiri, tetapi seperti dijadikan musuh, padahal Kerajaan Sarawak sudah sebut dasar mesra kerajaan PH.
“Hendak berbaik-baik demi kebaikan rakyat, macam-macam sudah diusahakan, tetapi tidak ada isyarat terbaik setakat ini,” ujarnya.
Kata beliau , kalau benar Kerajaan Persekutuan hendak membantu, ia perlu bayar cepat hasil cukai jualan 5 peratus kepada Sarawak.-SuaraSarawak

No comments:
Post a Comment