MIRI: Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor, purata gaji pekerjanya masih rendah.
Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Andrew Lo, berkata purata gaji minimum di Sarawak sekitar RM1,350.
Beliau berkata, jumlah gaji minimum direkodkan itu adalah ketiga terendah di negara ini, di mana situasi itu memberi kesan kepada pendapatan isi rumah di Sarawak.
“Sebanyak 80 peratus daripada 1.3 juta pekerja Sarawak pada 2017 bekerja dalam sektor perladangan, perkayuan dan pembinaan.
“Mereka dibayar gaji minimum sebanyak RM1,100 sebulan. Majoriti mereka adalah pekerja asing,” katanya di sini, hari ini.
Andrew berkata, usaha perlu diambil kerajaan untuk menyelaraskan gaji minimum di Sarawak supaya pendapatan pekerja bertambah baik.
Beliau berkata, kadar gaji berkenaan perlu seimbang seperti dinikmati pekerja di negeri lain di seluruh negara.
“Isu berkenaan sudah lama dibincangkan, namun belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung isu berkenaan oleh kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak berkaitan terutama majikan mengambil inisiatif menyelaras gaji pekerja di Sarawak.-BH Online
No comments:
Post a Comment