Kebahagiaan pada dasarnya diukur dengan kesetiaan dan jujur menjadi kata kunci untuk hidup berpasangan. - Gambar hiasan
KEPERCAYAAN menjadi asas dalam sesebuah perhubungan, tidak kira cinta yang baru berputik atau ikatan suami isteri.
Kebahagiaan pada dasarnya diukur dengan kesetiaan dan jujur menjadi kata kunci untuk hidup berpasangan.
Namun, meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasangan bukan satu pilihan bijak! Paling tidak pun tinggalkan 10 peratus ruang untuk rasa curiga dengan pasangan masing-masing.
Memanglah hak untuk mencinta dan dicintai, memuja, memuji, sampaikan lupa mereka cuma manusia bukan malaikat. Tak sempurna dan sering berbuat silap.
Pasangan yang berkelahi atau berselisih faham akan mudah membuka ruang untuk terleka dan mengepung rasa benci; mencari eskapisme dan melepaskan geram.
Dan di situlah kecurangan mengorbankan janji setia bersama pasangan!
Ada yang kata, pasangan bahagia adalah pasangan yang tidak berselindung dan berkongsi segala-galanya bersama termasuk ruang privasi; keluarga, kawan, kenalan, kisah silam, segalanya.
Adakah benar kata orang, pasangan yang serasi dan setia perlu mengambil tahu semuanya termasuk gerak-geri pasangan? Ke mana pergi? Makan apa tengah hari tadi? Minum petang dengan siapa? Bikin apa waktu malamnya?
Adakah itu namanya 'caring' atau 'overprotective'?
Uniknya manusia, diwujudkan sikap ingin tahu. Mahu merungkai segalanya, enggan perasaan dibalut emosi resah.
Selagi tak bertemu jawapan, selagi itu digali satu persatu sampai sanggup menggodam ruang privasi pasangan termasuk kata laluan telefon pintar atau media sosial.
Itu bukan perkara baru! Memetik kata Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Mariani Mohd Nor, aplikasi seperti WhatsApp menjadi pendorong kepada perbuatan curang yang membawa kepada perhubungan mesra hingga lupa batas pergaulan.
Manakala, penggunaan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp juga membawa kepada hubungan yang tidak baik antara suami isteri kerana tiadanya sensitiviti perhubungan dengan memuat naik status dan gambar yang tidak bersesuaian.
Jadi, sejauh mana anda mengukur kejujuran pasangan anda dalam kehidupan sehari-harian?
Adakah perlu pasangan itu tahu dan berkongsi segalanya, telus dan jujur kalau mahu hidup bahagia?-Awani
No comments:
Post a Comment