KUALA LUMPUR: Selepas empat dekad majalah humor, Gila-Gila berada di pasaran secara tradisional, kini pembaca setia boleh membacanya melalui aplikasi digital, GG Komiks.
Usaha penerbit majalah itu, Creative Enterprise Sdn Bhd membangunkan aplikasi komik berkenaan menjadikannya yang pertama di negara ini.
Majlis pelancaran aplikasi itu disempurnakan kartunis terkemuka, Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Tasik Perdana di sini hari ini.
Turut hadir, pengasas majalah Gila-Gila, Datuk Azman Yusof, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Sariman Mior Hassan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syafeeq Shahman Jaafar, berkata pihaknya mendapati industri komik di negara ini semakin lemah hingga menyebabkan banyak karya gagal diketengahkan, malah ada yang hilang begitu sahaja selepas teknologi menguasai segenap bidang.
Katanya, apabila aplikasi itu dibangunkan sejak lapan bulan lalu, ia diyakini akan menjadi platform kepada peminat majalah Gila-Gila untuk mendapatkan koleksi lama dan terbaru hanya melalui peranti masing-masing.
Ia adalah usaha untuk menghimpunkan semula koleksi komik Gila-Gila sejak 1978 dan karya terbaru kerana ia adalah khazanah negara apabila menjadi satu-satunya majalah humor tertua di Asia Tenggara.
"Saya akui, dunia internet kini menguasai industri kartunis, maka kita perlu ikut teknologi untuk kekal dan relevan dalam industri selain membolehkan generasi baharu mengenali komik Gila-Gila.
“Namun dalam masa sama, jualan cetak akan diteruskan kerana ia mempunyai peminatnya tersendiri sejak sekian lama.
“Usaha ini perlu dilakukan kerana dunia digital menyebabkan industri percetakan terkena tempias apabila kos menjadi tinggi, malah industri komik sukar mendapat sokongan kerajaan dan pihak swasta kerana mereka lebih suka melabur dalam bidang animasi,” katanya.
Mengulas kesukaran industri komik berkembang, Syafeeq berkata pihak luar melihat industri kartun lemah kerana tiada platform yang membolehkan perkembangannya dapat dizahirkan.
“Atas faktor itulah, aplikasi ini menjadi platform terbaik kepada semua dalam memperkukuhkan industri kartun di mana Gila-Gila pernah dijual 400,000 naskhah sebulan.
“Bagi pembaca yang memuat naik aplikasi ini, mereka akan dapat membaca sekurang-kurang empat naskhah majalah sebulan membabitkan versi lama dan baharu.
“
Kita juga akan memastikan pembaca tidak akan tertunggu-tunggu kerana kita mempunyai simpanan 40 tahun majalah iaitu lebih 800 naskhah sejak ia mula diterbitkan,” katanya.
Aplikasi GG Komiks boleh diperoleh secara percuma di Google Play dan Apple App Store
Sementara itu, Lat berkata beliau tidak terfikir perkara sebegini akan berlaku kerana dahulu pembaca perlu menunggu keluaran isu baharu untuk membaca tetapi semuanya kini di hujung jari.
“Saya yakin ramai pembaca setia Gila-Gila akan gembira dengan aplikasi ini kerana mereka boleh membaca dalam telefon atau apa juga peranti di mana sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment