SIBU: Dua beradik, masing-masing berusia lima tahun dan tujuh tahun, mengalami bengkak di bahagian mata dan calar di bahagian belakang badan dipercayai akibat didera bapa tirinya.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, perbuatan suspek dikesan oleh ibu kandung mereka selepas membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ke Hospital Sibu setelah mengadu sakit kepala pada 8 Mei lepas.
"Setelah pihak hospital membuat pemeriksaan, mangsa menceritakan kepada pengadu bahawa dia dan adiknya telah dipukul oleh bapa tirinya ketika mereka berada di luar rumah kuarters pekerja limbungan kapal di Sungai Bidut," jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Stanley berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa merupakan anak hasil perkahwinan ibu kandung mangsa dengan suami terdahulu yang sudah meninggal dunia.
Menurutnya, pengadu yang berkahwin secara adat Iban dengan suspek tidak mempunyai anak dengan lelaki tersebut.
"Pengadu telah berkahwin dengan suspek sejak empat tahun yang lalu dan memang mengetahui anaknya pernah dipukul oleh suspek tapi tidak mengalami kecederaan yang teruk.
"Pengadu tidak membuat laporan (sebelum ini) kerana masih mampu bersabar dan beri peluang kepada suspek," ujarnya.
Stanley berkata lanjutan daripada laporan yang dibuat, pihaknya menahan seorang jurukimpal, 48, di kuarters pekerja limbungan kapal di Sungai Bidut di sini.
Dalam siasatan awal katanya, suspek mengaku memukul kedua-dua mangsa dengan rotan pemukul nyamuk atas alasan mereka degil bermain di sungai berhampiran rumah dalam satu kejadian pada 4 Mei lepas.
"Hasil pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa mengalami kecederaa bengkak di bahagian mata dan kesan calar kecederaan lama di bahagian belakang badan," katanya.
Stanley berkata, kedua-dua mangsa kini berada di Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-UtusanBorneo

No comments:
Post a Comment