Suspek serangan masjid jalani pemeriksaan mental



Brenton Tarrant diarah menjalani pemeriksaan mental. - Foto Reuters

CHRISTCHURCH: Hakim sebuah mahkamah di sini hari ini mengarahkan suspek penembak dua masjid bulan lalu menjalani pemeriksaan mental bagi menentukan sama ada dia layak untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh 50 jemaah.

Tertuduh, Brenton Tarrant, akan berdepan 50 pendakwaan bunuh dan 39 cubaan membunuh susulan serangan 15 Mac lalu ke atas dua masjid di Christchurch.

Lelaki berusia 28 tahun itu akan dipantau oleh dua pegawai kesihatan untuk melihat sama ada dia layak dibicarakan atau mempunyai masalah mental, kata Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander dalam prosiding ringkas di sini hari ini.

Tarrant ditahan secara berasingan di sebuah penjara dengan keselamatan maksimum berikutan pembunuhan beramai-ramai itu menjalani prosiding pendakwaan secara pautan audio-visual dari Auckland.

Sepanjang prosiding, suspek yang mengakui dirinya adalah pelampau ketuanan kulit putih hanya mendengar dan berdiam diri.

Beberapa waris mangsa turut berada di mahkamah untuk melihat sendiri buat kali pertama lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai itu.

“Saya hanya ingin melihat apa yang akan dikatakannya, apakah perasaannya, emosinya, untuk melihat reaksinya, baik atau buruk,” kata Yama Nabi, yang kehilangan bapa berusia 71 tahun dalam insiden itu, kepada Radio New Zealand di luar mahkamah.

Tarrant akan ditahan reman sehingga prosiding mahkamah berikutnya pada 14 Jun.

Warga Australia itu pada mulanya dituduh melakukan satu pembunuhan sebagai langkah jaminan ketika muncul dalam prosiding pertamanya di mahkamah sehari selepas pembunuhan.

Bagaimanapun, pertuduhan itu dikemaskini hari ini bagi menyertakan kesemua 50 nama mangsa yang terkorban dalam serangan itu dan 39 lain yang cedera.

Dia turut memecat seorang peguam yang dilantik oleh mahkamah selepas prosiding pertama, menimbulkan kebimbangan niatnya untuk mewakili diri dan cuba menggunakan mana-mana perbicaraan sebagai platform propaganda.

Bagaimanapun, dua peguam Auckland, Shane Tait dan Jonathan Hudson, muncul di mahkamah bagi pihaknya.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan pembunuhan masjid itu sebagai ‘serangan pengganas’ yang dirancang dengan baik dan mengambil langkah segera untuk mengetatkan undang-undang senjata negara terbabit.

Kerajaan juga akan mengkaji undang-undang yang berkaitan dengan ucapan kebencian. - AFP

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...