Chong pertikai tindakan Ahli Parlimen GPS



KUALA LUMPUR:  Pengerusi Pakatan
Harapan  (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan pembentangan rang undang-undang pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan sebagai permulaan yang baik, sekali gus mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak bersetuju cara pindaan itu dibuat.


GPS menyifatkan pembentangan usul Pindaan Perlembagaan berkaitan Perkara 1 (2) membabitkan status Sabah dan Sarawak semalam disifatkan tergesa-gesa dan tanpa mengambil kira roh dan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Penyokong Pakatan Harapan (PH) berpendirian, pindaan itu tindakan paling asas dalam mengembalikan hak Sarawak dan Sabah selari janji manifestonya menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.


“Bukankah ini yang dimahukan oleh kerajaan Sarawak? Tidak lain, tidak bukan,” kata Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin, seperti dipetik media tempatan, hari ini.


Ahli Parlimen pembangkang pula tidak bersetuju cara usul dibentangkan kerana tidak membabitkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan Sabah dan Sarawak.


Malah, mereka mahu ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.


Bagi Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Sarawak bakal jadi kelas kedua jika pindaan diluluskan.

Malah, dakwa beliau, Ahli Parlimen GPS tidak diberi masa untuk berbincang mengenai cadangan pindaan itu.


“Isunya sekarang, dalam pindaan perlembagaan itu, langsung tidak ada ruang untuk Sarawak dan Sabah,” katanya.


Menurut bekas menteri persekutuan itu, banyak perkara dalam rang undang-undang itu tidak selari dengan Perjanjian Malaysia 1963, Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.


Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula berpendapat ia dibuat secara terburu-buru tanpa memberi peluang yang cukup kepada pemegang taruh serta semua yang terbabit untuk mengkaji dan membincangkan intipati pindaan yang dicadangkan, sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

“Pindaan berkenaan seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambil kira pandangan semua pihak atau pemegang taruh terbabit di Peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah,” tegas Datuk Sri Fadillah Hj Yusof.


Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, Putrajaya tidak pernah menjelaskan kepada GPS cadangan pindaan itu.


“Kami mahu melihat pindaan yang dicadangkan sebelum dibentabngkan supaya kami memahami apa yang dibentangkan,” jelas Setiausaha Agung GPS itu.


Bacaan kali pertama rang undang-undang tersebut dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.


RUU itu menyatakan pindaan dibuat selaras dengan semangat MA563, selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan Saabah dan sarawak, serta rakyat kedua-dua negeri terbabit.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...