Abang Johari menyempurnakan simbolik pecah tanah untuk pembinaan surau dengan reka bentuk berkonsepkan tokong Cina (gambar sisipan)
MIRI: Surau dengan reka bentuk berkonsepkan tokong Cina iaitu yang pertama di sini akan dibina di Pujut 5 melibatkan kos melebihi RM2.5 juta.
Dikenali Surau Pujut Lima, kerja-kerja pembinaan dijadual dilaksanakan bermula penghujung bulan dan akan memakan masa selama 15 bulan.
Dengan keupayaan kapasiti untuk seramai 350 jemaah, ia akan menjadi pusat ibadat utama kepada umat Islam sekitar kediaman Pujut 4, 5, 6 dan 7 yang kini didiami lebih 300 keluarga Islam.
Surau turut memiliki pusat maklumat yang berperanan sebagai pusat ilmu pengetahuan tentang ajaran agama Islam dan al-Quran.
Majlis pecah tanah hari ini disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari memberitahu, kerajaan negeri akan menyumbang sejumlah dana untuk melengkapkan jumlah tabung pembinaan projek ini.
Beliau berbangga dengan usaha Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) dan masyarakat Islam di sini atas usaha dakwah yang holistik kepada masyarakat di sini.
"Sarawak bertuah kerana memiliki masyarakat majmuk dengan tahap toleransi tinggi yang memberi keamanan kepada negeri," jelasnya.
Terdahulu, Pengerusi LAKMM dan Pengerusi Jawatankuasa Projek Datuk Abdillah Abdul Rahim berkata, pembinaan melibatkan kawasan seluas setengah ekar di sebidang tanah yang juga digunakan untuk kawasan perkuburan Islam.
Menurut beliau, dana pembinaan dikumpul secara inisiatif swasta iaitu dari penderma kepada tabung surau.
Setelah siap kelak, surau akan ditadbir urus oleh LAKMM.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, Residen Miri Mastapha Julaihi, Pegawai daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad dan Temenggong Abdul Rahman Fadzail.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment