Rayuan kes pembunuhan Wong ditunda, seorang hakim tarik diri





KUCHING: Seorang Hakim Mahkamah Rayuan di sini hari ini menarik diri daripada perbicaraan rayuan kes pembunuhan pengurus bank yang berasal dari Sibu, Wong Jing Kui. 

Hakim Stephen Chung Hian Guan membuat keputusan berkenaan atas alasan tidak selesa menguruskan kes ini kerana dikatakan mengenali seorang tertuduh iaitu Tiong King Guan, 33.

Peguam Ling Hang Tsyr, 38, yang terdiri daripada Roger Chin dan Lim Heng Choo kemudiannya memohon agar mahkamah menyediakan panel hakim baru bagi perbicaraan seterusnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala sidang hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Ketua Panel Hakim Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan dua panel lain iaitu Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dan Hakim Stephen Chung Hian Guan. 

Turut kelihatan di Mahkamah Rayuan, ahli keluarga Wong serta peguam mereka, Christina Teng.

Hang Tsyr dan teman lelakinya, Tiong, didakwa membunuh Wong Jing Kui, suaminya, tujuh tahun lepas di rumahnya yang bertempat di Jalan Ulu Sungai Merah pada 14 Jun 2012 pada pukul 1.30 pagi.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. 

Ling Hang Tsyr dijatuhi hukuman mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Norcahaya Arshad pada 27 Oktober 2017 selepas didapati bersalah serta bersubahat dalam pembunuhan suaminya.

Tiong bagaimanapun sehingga kini masih tidak dapat dikesan. 

Justeru, keluarga mangsa menawarkan ganjaran wang tunai RM50,000 kepada orang ramai yang berjaya menemuinya atau bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersubahat dengan seorang pembunuh upahan, juga pesalah utama, Ling Hoe Ing, 30.

Hoe Ing didakwa di bawah tuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuhnya.
 
Dia kemudiannya menjalani hukuman penjara 16 tahun selepas dia mengaku bersalah pada 1 Oktober 2013.

Laporan patologi mengesahkan bahawa Wong meninggal dunia akibat tikaman dan luka di dada, leher dan perut serta di kedua lengannya.

Menurut fakta kes, polis menemui mangsa di bilik tidurnya dan hanya isteri serta anak lelakinya berada di rumah ketika itu.
Anaknya yang berusia 10 tahun itu kini berada di bawah jagaan keluarga Hang Tsyr.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...