Dua wanita warga emas ditipu sindiket bantuan kebajikan





 
KUCHING: Dua wanita warga emas terjerat dengan taktik penipuan bantuan kebajikan sehingga melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM4,410 dalam dua kes berasingan di Sri Aman dan Betong pada Ahad. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah mendedahkan, sindiket ini kembali aktif di Sarawak yang mana dua suri rumah itu menjadi mangsa terbaharu penipuan bantuan kebajikan tersebut.

"Kes penipuan bantuan kebajikan di Sri Aman melibatkan mangsa berusia 63 tahun dengan kerugian dilaporkan berjumlah RM2,850," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, beliau menjelaskan pada 21 April lalu semasa mangsa berada berhampiran sebuah farmasi di Jalan Sabu Lama, Sri Aman, didatangi seorang wanita tidak dikenali yang mengatakan hendak membantu mangsa mendapatkan wang bantuan kerajaan sebanyak RM1,200. 

Tambahnya, wanita itu turut mengatakan mangsa akan menerima RM350 setiap bulan selepas itu.

Menurutnya lagi, kemudian mangsa dibawa menaiki sebuah kereta berwarna putih bersama dua lagi lelaki yang tidak dikenali.
"Mereka mengatakan akan membawa mangsa untuk mengisi borang bantuan dan seterusnya untuk mengambil gambar.

"Apabila sampai di Jalan Paip, Sri Aman, mangsa telah diarahkan turun dari kereta itu tetapi beg tangannya mestilah ditinggalkan di dalam kereta," dedahnya.

Mustafa Kamal berkata, oleh kerana mangsa enggan menuruti arahan itu, salah seorang suspek telah menarik beg tangan mangsa dan kemudian menolak mangsa ke tepi jalan.

Kemudian ketiga-tiga suspek terus memecut kereta dan melarikan diri bersama beg tangan berwarna putih milik mangsa yang mengandungi wang tunai lebih kurang RM350, barangan kemas, buku akaun Amanah Saham Bumiputera dan buku akaun bank.

Sementara itu, kes penipuan bantuan kebajikan di Betong pula melibatkan suri rumah berusia 72 tahun yang mengalami kerugian RM1,560.

Beliau menjelaskan, modus operandi kes ini, pada 21 April semasa mangsa berada di hadapan sebuah kedai di Pekan Debak, Betong, mangsa didatangi seorang wanita yang tidak dikenali.

"Perempuan itu memberitahu duit BRIM (kini BSH) telah masuk hari ini, tetapi mangsa mengatakan beliau bukan penerima bantuan itu.

"Kemudian perempuan itu terus menarik mangsa masuk ke dalam sebuah kereta berwarna kuning. Turut berada di dalam kereta tersebut dua orang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki tidak dikenali," katanya.

Menurut Mustafa Kamal, semasa berada dalam kereta itu, suspek perempuan telah menanggalkan barangan kemas seperti rantai leher, subang emas serta jam tangan dan dua bentuk cincin tembaga daripada mangsa. 

Selain itu, suspek turut mengambil beg duit yang mengandungi wang RM80 milik mangsa.

"Selepas itu, suspek-suspek telah meninggalkan mangsa di tepi jalan berhampiran sebuah rumah panjang, sebelum mereka melarikan diri menggunakan kereta dengan membawa bersama barangan milik mangsa," ujarnya.

Mustafa Kamal mengingatkan masyarakat sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak tertentu yang menyamar sebagai kakitangan kebajikan atau mana-mana individu yang mengatakan boleh mendapatkan bantuan kebajikan dari agensi kerajaan.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...