SIBU: Seorang penggali kubur ditahan selepas disyaki merogol gadis bawah umur di sebuah rumah panjang di Batu 20 Jalan Oya, dekat sini.
Kes itu terbongkar selepas mangsa, 14, menjalani pemeriksaan di sebuah klinik di Jalan Oya apabila lewat 'datang bulan' namun ujian kehamilan menunjukkan negatif.
Setelah mengesyaki remaja yang tidak lagi bersekolah itu menjadi mangsa rogol, pegawai perubatan di klinik tersebut bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut pada Selasa, sekitar 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar) berkata hasil soal siasat mendapati suspek mengaku telah mengadakan hubungan seks dengan mangsa sejak bulan April tahun lalu selepas mereka tinggal bersama.
Katanya, hubungan mereka dipersetujui keluarga namun mangsa dan suspek tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai sebarang dokumen berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, polis bertindak menangkap suspek pada hari yang sama (Selasa)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Stanley berkata suspek kini ditahan reman sehingga 16 April untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UtusanBorneo

No comments:
Post a Comment