Op Samseng Jalanan: Lima motosikal disita, 30 saman dikeluarkan




KUCHING: Sebanyak lima motosikal disita dan 30 saman dikeluarkan sepanjang 'Op Samseng Jalanan' yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Jalan FAC Matang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, operasi yang dijalankan dari pukul 4 petang hingga 10 malam itu menyaksikan 85 kenderaan diperiksa. 

"Sebanyak lima motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan lanjut. 

"Dalam pada itu, sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Dedah Aidil, antara kesalahan lalu lintas tersebut, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan tidak pakai topi keledar.

Tambahnya, 'OP Samseng Jalanan' diadakan bagi mengesan dan menangkap penunggang motosikal yang menjalankan aktiviti lumba haram. 

"Operasi ini diketuai Ketua  Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Padawan ASP Muhamad Rizal Alias, dengan kekuatan dua pegawai kanan dan lapan anggota.

Lima motosikal disita dalam operasi itu.

"Selain itu, seramai enam anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) juga turut serta untuk membantu di dalam menjayakan operasi ini," jelasnya. 

Pada masa sama beliau memberitahu, operasi ini juga bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ke tahap yang paling minimum.

Katanya lagi, lumba haram yang dilakukan 'mat rempit' bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri malahan pengguna jalan raya yang lain serta mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada ekzos yang diubah suai. 

Malah, beliau mendedahkan dalam operasi itu juga, seorang penunggang motosikal ditangkap di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menunggang motosikal dalam keadaan melulu dan membahayakan.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak melebihi RM15,000.

"Dia dibebaskan dengan jaminan polis dan operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama pada hujung minggu untuk memastikan aktiviti lumba haram dapat dihapuskan khususnya di daerah Padawan," ujarnya. 

Justeru, beliau berharap orang ramai agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti lumba haram ini kepada pihak polis supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mereka.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...