Miliki senapang patah buatan sendiri, warga asing ditahan di Sebauh





Selaras senapang patah buatan sendiri dan peluru tabur dirampas dalam serbuan awal pagi tadi.

BINTULU: Seorang lelaki warga asing ditahan bersama selaras senapang patah buatan sendiri dalam serbuan polis di sebuah rumah di kawasan Sebauh, dekat sini, hari ini.

Serbuan itu dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu yang diketuai Inspektor Suhaimi Abdul Rahman sekitar 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, operasi itu dijalankan untuk mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Dalam serbuan itu, polis menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri dan sebutir peluru tabur," katanya dalam satu kenyataan.

Zulkipli berkata siasatan awal mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang lesen atau permit sah berkenaan pemilikan senjata api dan tiada sebarang nombor siri didapati pada senjata tersebut. 

"Maklumat awal juga mendedahkan suspek membeli senjata tersebut daripada seorang rakannya, juga seorang warga asing, yang telah pulang ke negara asal pada tahun 2017," tambahnya. 

Berikutan itu katanya, suspek ditahan reman di lokap Balai Polis Sentral Bintulu sehingga 2 Mei tahun ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Beliau menambah, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan semasa pemeriksaan.-UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...