Perjuangan GPS untuk Sarawak



SEBUYAU: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menjadikan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Menteri, tetapi menegaskan ia demi kepentingan Sarawak.

Beliau yang meneruskan legasi bekas Ketua Menteri, allahyarham Pehin Sri Adenan Satem memperjuangkan kuasa dan hak Sarawak berkata prinsip perjuangan GPS adalah mempertahankan Sarawak daripada terus ditindas kerajaan persekutuan, selain memajukan Bumi Kenyalang untuk kesejahteraan rakyat.

“Inilah perjuangan kita, GPS akan terus berjuang untuk mempertahankan hak dan kuasa Sarawak.

“Saya tidak penting, jawatan sebagai Ketua Menteri tidak penting. Saya boleh ditukar apabila masanya sampai tetapi perjuangan kita untuk Sarawak lebih penting.

“Kita mahu terus membangunkan Sarawak yang masyarakat berbilang kaum dan agama menjadi negeri yang aman, sejahtera, harmoni dan termaju menjelang tahun 2030 dalam acuan kita orang Sarawak,” katanya.


Abang Johari ketika berucap pada Majlis Pelancaran GPS Zon 5 di Dewan Pembangunan Sebuyau, semalam.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran GPS Peringkat Zon 5 (DUN Sadong Jaya, DUN Simunjan, DUN Gedong, DUN Sebuyau, DUN Lingga, DUN Beting Maro) di Dewan Pembangunan Sebuyau di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Whip GPS yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi.

Abang Johari yang juga pengerusi GPS berkata kepimpinan GPS tidak akan membiarkan Sarawak terus ketinggalan dari segi pembangunan walaupun dianak tirikan oleh kerajaan persekutuan.

Beliau berkata sejak pentadbiran Putrajaya bertukar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), Sarawak telah kehilangan begitu banyak projek berimpak tinggi yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.


Ketibaan Abang Johari untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran GPS Zon 5 di Dewan Pembangunan Sebuyau disambut ribuan ahli GPS dari Zon 5. Gambar oleh Marvin Kudang


Katanya, antara projek yang menjadi mangsa ‘buruk siku’ kerajaan persekutuan ialah Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM1 bilion, di mana kos pembinaannya sepatutnya dibiayai secara kongsi 50/50.

Namun kerana mengutamakan kepentingan jambatan itu terutama untuk rakyat di sepanjang kawasan pesisir pantai, Abang Johari berkata kerajaan GPS mengambil keputusan untuk menanggung sepenuhnya kos bagi merealisasikan pembinaan jambatan berkenaan.

Selain Jambatan Batang Lupar, beliau berkata akan turut membina Jambatan Batang Saribas, Jambatan Batang Krian, Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Kemena untuk menghubungkan sepenuhnya laluan pesisir pantai.

“Sudah tentu pembinaan jambatan-jambatan ini menelan kos berbilion-bilion tetapi kami pemimpin GPS kalau sudah berjanji tidak akan tarik balik dan buruk siku seperti mereka di seberang (kerajaan persekutuan),” katanya.-SuaraSarawak

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...