Kerajaan Sarawak Berusaha Dapatkan Pengiktirafan Antarabangsa Bagi Kubu Lili Dan Kubu Bersejarah Lain


BETONG: Kerajaan Sarawak sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan bagi Kubu Lili serta kubu-kubu bersejarah lain yang terdapat di negeri ini sebagai Tapak Warisan dan Budaya Sedunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kubu-kubu berkenaan antaranya Kubu Lili, Kubu Brooke, Kubu Emma dan Kubu Hose memiliki keunikan tersendiri yang tidak terdapat di mana-mana negeri di Malaysia.
Jelas beliau, maka selayaknya kubu-kubu bersejarah berkenaan diperkenal dan dimartabatkan di mata dunia.
"Justeru, langkah untuk mendapatkan pengiktirafan ini adalah tepat bagi membolehkan kita (Sarawak) dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Saya percaya dengan komitmen dan iltizam semua pihak, kita dapat bersama-sama mentransformasikan Kubu Lili dan kubu-kubu lain di Sarawak sebagai sebuah kubu yang dikenali di peringkat dunia," katanya dalam Majlis Serah Tapak dan Upacara Miring Bagi Projek Pemuliharaan dan Menaiktaraf Kubu Lili di sini hari ini.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Hadir sama ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.36 Layar, YB Gerald Rentap Jabu dan Pemangku Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Suria Bujang.
Datuk Amar Douglas menambah, apabila siapnya projek pemuliharaan dan menaiktaraf itu, ia secara langsung mentransformasikan Kubu Lili sebagai sebuah bangunan muzium.
Katanya, dari aspek ekonomi, Kubu Lili akan menarik lebih ramai pelancong datang berkunjung ke Betong sekali gus menjana pendapatan tambahan kepada para peniaga tempatan.
"Dari aspek sosial pula, dengan terbinanya sebuah muzium di sini, maklumat mengenai sejarah dan budaya penduduk di Betong dapat disampaikan kepada masyarakat luar," katanya.







No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...