Dadah jenis syabu seberat 8.8 gram yang berjaya dirampas dari suspek.
BINTULU: Seorang lelaki berumur 32 tahun ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 8.8 gram yang dianggarkan bernilai RM600, dalam satu tangkapan di Kampung Baru Bintulu, di sini, sekitar 9.40 pagi pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, suspek ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ketika sedang memandu di kampung berkenaan.
"Polis yang ketika itu sedang menjalankan rondaan serta pemantauan telah menahan pemandu kereta terbabit kerana berada dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dipandu suspek menemukan 11 tiub straw lutsinar berwarna merah, yang mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu turut mengesahkan beliau positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes ini katanya akan disiasat di bawah dua seksyen iaitu Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabitkan kesalahan, suspek berhadapan dengan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun, beserta sebatan tidak kurang dari tiga kali, dan lebih dari sembilan kali.
Bagi siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, pula, suspek berhadapan dengan denda tidak lebih RM5,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, serta diletakkan di bawah pengawasan untuk tempoh selama dua tahun.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment