BUKTI KES: Barang yang dicuri berjaya ditemui semula.
KUCHING: Seorang pelajar tingkatan dua diberkas sepasukan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hilir Tengah, Kabong malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin berkata, suspek berusia 14 tahun itu ditangkap sekitar jam 9.05 malam kelmarin ekoran satu laporan polis yang dibuat seorang mangsa berusia 45 tahun berhubung beg tangan yang telah dicuri remaja terbabit.
“Pada 31 Mac sekitar jam 9 pagi di hadapan rumah adik mangsa di Kampung Hilir Kabong, mangsa pergi ke rumah adiknya untuk menghantar barang.
“Selepas mangsa masuk ke rumah adiknya, mangsa terlupa dengan beg tangan yang berada di dalam raga motosikalnya yang mengandungi dokumen penting dan wang tunai berjumlah RM2,846 untuk membayar ansuran pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mordani mendedahkan, semasa kejadian itu, seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan tersebut ketika ingin pulang ke rumahnya ternampak suspek sedang mengambil beg tangan yang berada di dalam raga motosikal mangsa.
Jelasnya, suspek kemudiannya memasukkan beg tangan tersebut ke dalam bajunya dan terus melarikan diri.
Ekoran itu, penduduk terbabit memberitahu mangsa tentang kejadian tersebut.
Sehubungan itu katanya, mangsa kemudiannya tampil ke Balai Polis Daerah Saratok untuk membuat laporan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal, polis menemui semula barang kes di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hilir Laut, (rumah suspek).
“Suspek juga mengaku mencuri beg tangan tersebut untuk tujuan peribadinya,” ujarnya.
Mordani menjelaskan kes itu kini masih disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment