KUCHING: Tiada rundingan dengan Kerajaan Sarawak, justeru melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Tiada rundingan antara Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dengan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berhubung isu perpindahan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Pejabat Ketua Menteri semalam mengesahkan bahawa tidak berlaku sebarang rundingan untuk memindahkan pendaftar mahkamah itu dari Kuching ke Kota Kinabalu.
Tegas kenyataan itu, sepatutnya wujud perbincangan dua hala Abang Johari dengan Tun Mahathir mengenai perpindahan berkenaan seperti termaktub dalam Artikel 121 (4) Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Sarawak menolak sekeras-kerasnya perpindahan tanpa merujuk kepada perlembagaan kerana ia satu tindakan yang melanggar peraturan perlembagaan,” katanya.
Kenyataan tersebut sebagai reaksi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Kui Kong sebelum ini yang memaklumkan rasionalnya tindakan Kerajaan Persekutuan memindahkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu berkuat kuasa 1 Mei.
Perpindahan itu menurut Kui Kong, tidak akan mengubah pentadbiran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak kerana ia dibuat atas dasar kehakiman.
Malah kata Kui Kong lagi, tiada perpindahan fizikal berlaku kecuali kediaman Pendaftar Mahkamah Tinggi dan keputusan terbabit dibuat empat hakim utama pada Mac lalu mendapat perkenan Agong.
“Keputusan untuk memindahkan Pendaftar ke Kota Kinabalu dibuat oleh empat hakim utama pada Mac tahun ini,” katanya.
Kata Vui Keong, sejak merdeka pendaftar Sabah dan Sarawak ditempatkan di Kuching.
“Tidak ada dalam undang-undang atau perlembagaan menggariskan pendaftar mesti tinggal di Kuching selamanya.
“Secara tidak langsung, Sabah juga mempunyai hak memiliki Pejabat Pendaftar. Apabila Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu baharu sedia digunakan lewat tahun lalu, bekas Ketua Hakim, Tan Sri Richard Malanjun berpendapat sudah tiba masanya bagi Sabah memiliki pejabat pendaftar,” jelasnya.
Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak dalam kenyataan berpendapat, tindakan itu tidak berperlembagaan dan memberi kesan besar terhadap hak Sarawak di bawah Perlembagaan.
Kerajaan Sarawak mengakui terpaksa menerima keputusan akhir dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri tetapi paling mustahak ialah mematuhi proses dasar perlembagaan.
No comments:
Post a Comment