LONDON: Chelsea menerima tamparan hebat dalam usaha memburu slot Liga Juara-Juara apabila Burnley mengikat mereka 2-2 dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Maurizio Sarri turut diarahkan keluar padang, pagi tadi.
Jeff Hendrick menghadiahkan Burnley jaringan pembukaan sebelum N'Golo Kante dan Gonzalo Higuain meletakkan Burnley di depan 2-1 hanya selepas 14 minit aksi.
Bagaimanapun, Ahsley Barnes memastikan skuad pelawat kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.
ADVERTISING
Selepas Tottenham Hotspur, Manchester United dan Arsenal semuanya tumpas hujung minggu ini, Chelsea berpeluang mencengkam kedudukannya di tangga keempat EPL.
Keputusan seri itu membolehkan Chelsea merampas semula kedudukan keempat, menyamai mata dengan pasukan tangga ketiga Tottenham, namun dipisahkan berdasarkan agregat gol dan satu mata di depan Arsenal dengan kedua-dua pencabarnya kekurangan satu aksi di tangan.
Burnley kekal di tangga ke-15 sambil sembilan mata memisahkan mereka dengan zon penyingkiran ketika berbaki tiga perlawanan liga untuk dimainkan.
PEMAIN Chelsea, Gonzalo Higuain meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, pagi tadi. - Foto Reuters
Dalam malam yang penuh malang buat Chelsea, Callum Hudson-Odoi mengalami kecederaan serius pada bahagian otot di atas tumit dan Kante pada bahagian tulang rusuk.
Kekecewaan The Blues untuk meraih tiga mata penuh memuncak apabila pengadil Kevin Friend mengarahkan Sarri keluar padang selepas pengendali dari Itali itu dilihat bertegang leher ketika pemain kedua-dua pasukan bertelagah di hujung permainan.
"Anda boleh faham pastinya dia kecewa dengan perlawanan hari ini," kata penolong jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola yang menggantikan Sarri pada sesi temubual selepas tamat perlawanan.
Zola berkata, sebenarnya Sarri cuba menteteramkan pemainnya daripada terus 'bercakaran' tetapi disalahtafsir oleh pengadil; "Kami tidak gembira dengannya.
Pertahanan Chelsea, David Luiz menuduh Burnley sebagai bermain 'bola sepak negatif' dengan cuba membuang masa dan suka berkampung di kubu sendiri.
Bagaimanapun, pandangan itu ditolak mentah-mentah oleh pengendali Burnley, Sean Dyche yang sebalilnya memuji barisan pemainnya kerana berjaya menahan asakan dan tekanan diberikan Chelsea.
"Ada kalanya anda akan melalui malam seperti ini apabila anda perlu bertahan setiap inci permainan," katanya. "Ia tetap saat yang membanggakan untuk penyokong melihat barisan pemain mereka memberikan segala-galanya dalam perlawanan." - REUTERS
No comments:
Post a Comment