Facebook Sabah Sarawak Merdeka mungkin dimiliki warga asing - KPN




  
KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan akaun Facebook (FB) ‘Sabah Sarawak Merdeka’ dimiliki warga asing yang cuba mencetuskan provokasi di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (gambar).

Fuzi berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjejak suspek-suspek terlibat.

"Akaun (FB) yang dilaporkan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui hantaran di laman mereka, didapati telah dinyahaktif beberapa hari lalu dan kemudian aktif semula, tetapi kita tidak dapat mengesan pemiliknya.

"Polis tidak berdiam diri dan masih menunggu hasil bantuan SKMM dan sehingga Jumaat lalu sebanyak 267 laporan polis berkaitan kes tersebut telah diterima di seluruh negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara PGA Kem Bukit Galing, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Seramai 222 orang pegawai dan anggota polis, yang berkhidmat semasa darurat sehingga tahun 1990 menerima pingat tersebut.

Sementara Puzi berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan kes penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook, Jumaat lalu.

Menurutnya, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada pegawai pendakwa raya selepas ia lengkap untuk tindakan susulan.

Rakaman itu dimuat naik menerusi akaun FB bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil Jumaat lalu dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, selain dikongsi lebih 3,700 akaun FB dan mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur. - Bernama 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...