Bergelap untuk perangkap penyeludup diesel



MIRI: Taktik ‘bergelap’ oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya memerangkap penyeludup diesel di perairan utara Sarawak, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, sebuah bot Maritim Malaysia mengekori bot tunda yang sarat muatan 5,000 liter bahan api itu sebelum menahannya.

Bot tunda bersama empat kru berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan kira-kira dua batu nautika dari Kuala Baram dengan muatan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM11,000.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Miri, Md Fauzi Othman berkata, bot peronda yang digunakan anggotanya terpaksa memadamkan semua lampu bot untuk mengelak dikesan penyeludup yang keluar masuk melalui muara Sungai Baram.


“Penyeludup melakukan pelbagai helah ketika melakukan kegiatan haram mereka untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Namun kali ini, kami juga menggunakan taktik memadam semua lampu bot dan ia ternyata berkesan apabila berjaya memerangkap bot yang cuba menyeludup keluar minyak diesel itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, minyak diesel yang ditahan sudah dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan).

Md Fauzi turut meminta kerjasama orang ramai untuk bersama membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...