Baru Bian terbukti pandang remeh RUU Pindaan 1(2) Perlembagaan


KUCHING: Ketua Whip Parlimen GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini kesal dengan kenyataan terkini Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang menuduh ahli-ahli parlimen GPS sebagai pengkhianat dan mengabaikan tugas mereka apabila abstained dalam isu Rang Undang Undang Perkara (2)(1) Perlembagaan.

Katanya, tuduhan Baru bahawa alasan GPS tiada merit, membuktikan beliau (Baru) memandang remeh rang undang-undang berkenaan.

“Kesemua ahli parlimen GPS hadir di Dewan Rakyat dan hampir kesemuanya mengambil bahagian dalam perbahasan bagi  menegur kelemahan dan kelompangan pindaan itu, dan memohon supaya “pursuant to MA63” dimasukkan bagi menperkukuhkannya.

“Seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan akhbar pada 12 April lalu, ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

Katanya, kalau ahli-ahli Parlimen GPS tidak hadir dan tidak berusaha memperbetul kelemahan yang ada, baharulah ia dinamakan mengabaikan tugas.

“Ahli-ahli parlimen GPS bukan sahaja membahaskannya malah berunding dengan semua pihak termasuk Menteri Undang-Undang, pemimpin kerajaan dan pembangkang Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah; banyak kali berjumpa Menteri Undang-Undang dan turut berjumpa pemimpin pembangkang di Semenanjung untuk menyatakan pendirian GPS.

“Malah saya selaku Ketua Whip turut berjumpa Perdana Menteri, untuk menyatakan pendirian Sarawak supaya “pursuant to MA63” dimasukkan bagi melengkapkan pindaan berkenaan”.

Tegasnya, bagi GPS, rang undang-undang berkenaan bukan perkara kecil yg boleh diselesaikan secara ‘window dressing’, sebaliknya ia perlu diselesaikan secara menyeluruh demi masa depan rakyat dan negeri Sarawak.

“Ia memerlukan ketiga-tiga Penasihat Undang-Undang Persekutuan dan negeri untuk duduk berbincang mengenai intrerpretasi perundangan dan juga susun kata perundangan yang lebih tepat.

Bagi GPS katanya, apabila ia menyentuh mengenai mengembalikan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak serta melindungi kepentingan negeri ini sepenuhnya, tidak harus ada sebarang kompromi.

“Kalau Baru Bian mahu mempolitikkan isu berkenaan, terserah kepada beliau.

“GPS tetap dengan pendirian bahawa apabila menyentuh soal hak Sabah dan Sarawak, VK Liew bukan musuh kita, Chong bukan musuh kita dan Baru Bian juga bukan musuh kita.

“GPS bukan meminta lebih daripada apa yang kita berhak dapat dalam MA63.
“Kita hanya mahu memperkukuhkan dan tidak mahu ada sebarang kelemahan bagi melindungi hak Sarawak sepenuhnya.

Tegasnya, jika mahu memperbetulkan perkara ini, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan kita atasi kelemahan serta kekurangan yang ada sebelum kita meluluskan rang undang-undang pindaan ini.

“GPS kini fokus meneruskan perjumpaan dengan semua pemegang taruh berkaitan termasuk penasihat-penasihat undang-undang,” tambahnya lagi.-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...