Anak Kampung Gersik dilantik Ketua Polis Daerah Kuching





Dzuraidi menyaksikan penyerahan dokumen antara Ismail (kiri) dan Awang Din.

KUCHING: Anak jati Sarawak dari Kampung Gersik, ACP Awang Din Awang Gani dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Ketua Unit Siasatan Jenayah Tanah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mengambil alih tugas KPD Kuching daripada Timbalan KPD Kuching Superintenden Ismail Mahmood yang sebelum ini memangku jawatan tersebut selepas persaraan ACP Ng Ah Lek.

Majlis serah terima tugas disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Awang Din mula menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur sebagai pelatih inspektor pada 1991, sebelum ditugaskan di Bahagian Pentadbiran Jenayah, Jabatan Ketenteraman Dalam Negeri dan Awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. 

Beliau kemudian bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor dan Bukit Aman dengan jawatan terakhir beliau adalah Ketua Unit Siasatan Jenayah Tanah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dzuraidi percaya, pengalaman kerja yang luas akan membantu Awang Din mengetuai IPD Kuching dengan cara tersendiri. 

Beliau percaya misi dan visi yang diperjuangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap menjadi keutamaan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini amnya dan bandar Kuching khasnya sentiasa terpelihara.

Malah, beliau turut berharap agar warga IPD Kuching sentiasa memelihara imej pasukan bagi menghindari persepsi negatif masyarakat terhadap perkhidmatan PDRM.

"Saya juga dimaklumkan bahawa beliau adalah anak jati Sarawak, jadi ini adalah masa terbaik untuk beliau berikan perkhidmatan terbaik kepada tanah air sendiri.

"Justeru, saya berharap semua peringkat pegawai dan anggota termasuk pegawai serta kakitangan awam IPD Kuching sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada ACP Awang Din," ujarnya.

Dalam masa sama, Dzuraidi turut memuji komitmen Ismail sepanjang memangku jawatan KPD Kuching walaupun hanya dalam tempoh masa sebulan 10 hari.

"Walaupun dalam tempoh masa yang singkat, Ismail telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi dan cemerlang dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman Kuching ini sentiasa terpelihara serta komitmen yang telah beliau tunjukkan sepanjang memegang tugas ini," tambahnya.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...