Sarawak eksport hasil pertanian ke Singapura, tempah pesawat Cessna untuk memudahkan pengeksportan



SPAOH: Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport utama hasil pertanian berkualiti tinggi ke pasaran Singapura.


Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan Perdana Menteri Singapura berhubung rancangan mengeksport produk pertanian dari Sarawak ke negara republik berkenaan.

Menurutnya, bagi merealisasikan impian itu, bahagian Betong dan Sri Aman akan ditransformasi sebagai hab utama pengeluaran hasil pertanian negeri ini.

“Sebelum ini saya telah mengumumkan pembinaan Lapangan Terbang di Betong dan hasil survei yang dilakukan mendapati kawasan di Spaoh sesuai untuk membangunkan lapangan terbang itu bagi memudahkan pengumpulan dan pengeksportan hasil pertanian kelak.

“Kita (kerajaan negeri) juga telah menempah sebuah pesawat jenis Cessna untuk membawa hasil produk pertanian ke Singapura nanti” katanya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Spaoh di sini hari ini.

Hadir sama ialah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ketua Menteri menambah, Pekan Spaoh juga bakal berubah wajah dengan pelbagai projek yang dibangunkan di situ kelak khususnya Kompleks Sukan Spaoh yang akan dilengkapi dengan hub inovasi dengan penambahan anjung khas berbanding rancangan asal.

Jelas beliau, projek Tebingan Sungai Spaoh Fasa 1 akan dimulakan dengan kos sebanyak RM14 juta.

“Kerajaan negeri juga meluluskan projek pembangunan Pejabat Daerah Kecil Spaoh yang dianggarkan sebanyak RM6 juta.

“Antara lain, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM42 juta untuk pembinaan jalan baharu bagi laluan Jalan Tuie-Suri selain memperuntukkan dana RM7 juta bagi pembangunan Jambatan Kedua Tanjung Sebekut,” katanya.

Ketua Menteri juga menegaskan, semua projek kerajaan negeri yang dilaksanakan kini adalah berdasarkan tender terbuka dan dipantau terus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...