Sabah, Sarawak perlu layanan lebih adil



KUCHING: Jika Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan diluluskan pindaannya oleh Dewan Rakyat, Sabah dan Sarawak tidak lagi setaraf dengan kedudukannya dengan negeri lain di Semenanjung.

Pindaan itu sekali gus bakal menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi pembentukan negara ini, 56 tahun lalu, yang tentunya memerlukan layanan lebih adil kepada kedua-dua wilayah berkenaan.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata dengan kedudukan sebagai rakan sekutu, Sabah dan Sarawak boleh berunding terus dengan Perdana Menteri dalam apa jua isu strategik membabitkan kepentingannya.

“Misalnya, dalam isu hak minyak di Sarawak, kerajaan negeri berhak berunding terus dengan Perdana Menteri dan membuat keputusan mengenainya.

“Hasil keputusan itu, Perdana Menteri akan meminta pihak berkaitan khususnya PETRONAS supaya melaksanakannya tanpa halangan birokrasi yang panjang seperti yang berlaku ketika ini,” katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong semalam, mengenai keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju untuk membuat pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Awang Azman berkata, apabila Kerajaan Pusat mengumumkan perkara itu, bermakna ia laluan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi pembentukan negara ini, yang tentunya lebih dari sekadar negeri semata-mata.

“Namun, ia bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana memerlukan persetujuan majoriti Ahli Parlimen dan perlu dibentangkan dalam rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan pada sesi Parlimen bulan ini.

“Jika pindaan itu diluluskan, maka kedudukan Sarawak tidak lagi setaraf dengan negeri di Semenanjung tetapi akan menjadi rakan sekutu,” katanya.

Vui Keong sebelum ini berkata, persetujuan untuk meminda Perlembagaan berkenaan dibuat pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu dan ia satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan Perlembagaan itu akan dibentangkan kepada sidang Dewan Rakyat yang bermula esok dan akan menjadi kenyataan jika mendapat sokongan dua pertiga majoriti atau 148 Ahli Parlimen.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...