RM6 bilion bina jambatan penghubung



Abang Johari (kanan) disambut dengan persembahan tarian masyarakat Iban ketika menghadiri Majlis Pelancaran Pesta Gedong di Serian. - NSTP

GEDONG: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 bilion bagi membina jambatan Batang Lupar, Sri Aman, manakala RM5 bilion lagi untuk pembinaan jambatan di Bruit, Igan dan Dalat di Mukah.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata keseluruhannya sebanyak RM6 bilion akan diagihkan kerajaan negeri demi memastikan seluruh kawasan jalan pesisir di Sarawak mampu dihubungkan secara cekap.

“Kerajaan Sarawak akan meneruskan projek yang ditangguhkan Kerajaan Pusat ini menggunakan peruntukan sendiri demi kepentingan rakyat.

“Ini kerana kita menyedari hanya dengan adanya kemudahan ini dapat merancakkan lagi ekonomi kawasan pesisir,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pesta Gedong di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Asfia Awang Nassar;
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata sudah tibanya masanya Sarawak berdiri sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Pusat.

“Kita tidak menentang Kerajaan Pusat, namun kita perlu memikirkan sendiri cara dan idea untuk terus membangunkan Sarawak. Sebab itu, kita menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Beliau berkata, bagi Bahagian Samarahan, Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) sudah ditubuhkan dengan bertanggungjawab merancang pelan pembangunan di kawasan itu.

“IRSDA akan melihat keperluan pembangunan yang boleh dilaksanakan di daerah Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.

“Sejumlah RM1.5 bilion akan diagihkan bagi pembangunan kawasan berkenaan,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...