RM333.42 juta diluluskan bagi 40 Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula Sarawak



LAWAS: Sebanyak RM333.42 juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk penyediaan infrastruktur bagi 40 buah Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula di seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata, objektif Skim Penempatan Semula dilaksanakan adalah untuk menyediakan lot-lot kediaman dengan kemudahan asas untuk penempatan semula setinggan.

Jelas beliau, ia juga bagi menampung penambahan penduduk dan memenuhi keperluan kediaman rakyat berpendapatan rendah dan tidak mempunyai tanah sendiri.

“Manakala objektif pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung ini adalah untuk mengurangkan kepadatan penduduk di kampung sedia ada dengan memperuntukkan lot-lot kediaman yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik.

“Pada 6 Mei 2018, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah mengumumkan polisi baharu berkenaan dengan penyediaan infrastruktur Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula kepada spesifikasi yang lebih baik iaitu jalan bertar, perparitan konkrit, penembokan lot, bekalan air dan elektrik. Langkah tersebut diambil untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN Dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Serta Cek Pampasan di Dewan Masyarakat Sundar di sini hari ini.

Dalam majlis sama, seramai 92 individu telah menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi SPK Kuala Lawas.

Datuk Amar Awang Tengah menambah, penyerahan cek pampasan berjumlah RM6,137,317.80 kepada 33 pemilik tanah yang terlibat dalam projek Redevelopment Kpg Datu, Lawas membuktikan bahawa setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak akan diberi pembayaran pampasan.

Jelas beliau, pembayaran pampasan tanah itu membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu.

“Pelaksanaan serta pembayaran pampasan untuk projek ini membuktikan Kerajaan Sarawak mementingkan keperluan rakyat serta menyediakan pembangunan untuk rakyat.

“Setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak akan dibayar dengan pampasan yang berpatutan,” katanya.

Sambil menambah, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan, Kerajaan Sarawak membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan Peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.-SV

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...