PRK Semenyih Kekalahan PH satu mesej daripada rakyat - Mukhriz



HULU LANGAT: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, adalah mesej daripada rakyat yang perlu dihayati pimpinan parti itu.

Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kekalahan itu adalah isyarat kepada mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan, yang menyebabkan rakyat menghukum PH pada PRK itu.

"Kita dah cuba sedaya yang mungkin untuk memberi penerangan dan sebagainya di Semenyih, tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka dan kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

"Selepas ini, di mana-mana bahagian yang kita rasakan ada kesilapan serta kelemahan, itu tentulah kita perlu cuba perbaiki sedaya mungkin.

"Kita anggap ini sebagai satu mesej yang perlu kita hayati sebaik mungkin dan lakukan yang sebaik mungkin selepas ini," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Semenyih dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih, selepas memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).

Ditanya mengenai punca kekalahan itu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci untuk mengenal pasti kelemahan, namun beberapa isu sudah dikenal pasti.

Mengenai sama ada kekalahan itu ada mesej rakyat mula menolak PH, Mukhriz berkata, kalah dan menang adalah kelaziman bagi mana-mana pilihan raya dan PH perlu menerima hakikat tewas pada PRK kali ini.

"Selepas ini mungkin ada beberapa lagi PRK, mungkin ada kawasan BERSATU bertanding, saya tak tahu.

"Namun, kita kena ambil kira isu berbangkit yang berkait dengan kawasan dan negeri kita, dalam apa juga keputusan yang dibuat," katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...