PH kalah kerana rekod prestasinya yang buruk




JAMES MASING
KUCHING: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bukan satu kejutan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata PH kalah dalam PRK Semenyih yang diadakan Sabtu lepas disebabkan rekod prestasinya yang buruk.

“Saya tidak terkejut PH tewas di (PRK) Semenyih kerana rekod prestasinya yang buruk. Manifesto mereka tidak ditunaikan.

Mereka berbohong untuk mendapatkan undi.

“Mereka (PH) terus menyalahkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) atas kegagalan mereka melaksanakan janj-janji.

PH dipilih (oleh rakyat) untuk melakukan kerja mentadbir negara untuk lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegagalan PH mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dalam PRK yang diadakan Sabtu lepas.

Calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu calon PH, Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi.

Sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

PRK Semenyih diadakan selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari 2019 akibat serangan jantung.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan serta presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata PH seharusnya berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu (BN) atas kegagalan mereka.

“Cukuplah bermain dalam permainan menyalahkan pihak lain. Jangan PH terus menyalahkan kerajaan terdahulu atas kegagalan mereka setiap masa!

“Rakyat Malaysia memilih PH untuk melakukan yang lebih baik. Berhentilah mengkritik setiap masa. Jadilah pelaksana yang praktikal untuk rakyat. Gunakan otak bukan mulut,” ujarnya.

Masing berkata dalam tempoh lapan bulan pemerintahannya PH tidak banyak melakukan perbezaan berbanding BN.
Sebaliknya ujar beliau, mereka ‘bercakaran’ antara satu sama lain untuk jawatan dalam kerajaan.

“Dalam tempoh lapan bulan adakah mereka (PH) telah melakukan banyak perbezaan berbanding BN? Tidak. Sebaliknya mereka bergaduh antara satu sama lain untuk jawatan dalam kerajaan.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat suatu yang lebih baik, bukannya pertengkaran dalam kalangan YB mereka,” katanya.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...