Kekalahan PH Di PRK Semenyih Tanda Rakyat Sudah Muak Penipuan Kerajaan Pakatan Harapan



KUCHING: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tanda rakyat sudah muak dengan penipuan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Perkara itu ditegaskan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal  Korporat) Abdullah Saidol yang memberitahu, rakyat sudah bosan dengan retorik politik yang dimainkan pemimpin PH.

“Kita tidak perlu saintis politik yang tampil dengan analisis yang sukar difahami dan politik bombastik. Rakyat sudah muak dengan segala retorik, sesuatu yang tidak pasti dan kelemahan kepimpinan PH.

“PH amat tahu mengapa mereka kalah dalam dua PRK ini (Semenyih dan Cameron Highlands) dan mereka juga akan mengalami kekalahan yang sama pada PRK Rantau nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, PH masih sibuk bermain dengan politik retorik termasuk menyerang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan pelbagai fitnah politik dan tuduhan liar.

“Pada akhirnya, rakyat yang akan menjadi saksi siapa yang turun padang melakukan tugas atau siapa yang hanya pandai bercakap sahaja,” katanya.

Malah tegas Abdullah, apa yang lebih penting rakyat mahu melihat siapa yang jujur dan agresif mempertahankan hak Sarawak.

Sementara itu, veteran PBB Datuk Peter Minos berkata, kegagalan PH mengotakan janji menjadi punca kekalahan calon parti itu pada PRK Semenyih.

“Juga faktor lain yang menyebabkan kekalahan PH di Semenyih adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 1MDB dan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak lagi menjadi tumpuan ramai menyebabkan undi beralih arah.

“Selain itu, PH juga telah mewujudkan gambaran buruk dalam kalangan menteri-menteri mereka seperti sijil palsu termasuk beberapa cadangan yang tidak masuk akal beberapa menteri,” katanya.

Keadaan ini membolehkan calon BN tidak menghadapi masalah dan memberi kelebihan untuk menang pada PRK Semenyih. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...