Pengorbanan besar guru di pedalaman Sarawak


 


BENJAMIN RAGA

SELANGAU: Guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip menyumbang setiap bulan untuk membayar upah RM500 kepada seorang pekerja yang mengendalikan dua jana kuasa (generator) diesel berkuasa 60KW dan 80KW untuk membekalkan elektrik bagi kegunaan sekolah sejak Julai tahun lepas.

Ini didedahkan Guru Besar SK Bukit Arip Benjamin Raga ketika ditemuramah Utusan Borneo di pejabatnya Selasa lepas.

Benjamin berkata secara peribadi beliau merasakan pengorbanan yang dilakukan oleh guru-guru dalam aspek kos upah pengendalian jana kuasa agak keterlaluan memandangkan sudah ada kabel elektrik Syarikat SESCO Berhad berhampiran kawasan sekolah.

“Kos upah bulanan ialah sebanyak RM500 untuk seorang pekerja yang mengendali dua generator sekolah.


“Setiap guru akan membuat sumbangan pada setiap bulan untuk membayar upah pekerja,” katanya.

Menurut beliau, pihak sekolah telah menghubungi SESCO untuk bertanya sama ada SK Bukit Arip boleh mendapatkan bekalan elektrik daripada SESCO.

Benjamin berkata pihak SESCO memberitahu, pihak sekolah hanya perlu melakukan pendawaian semula di sekolah sebelum bekalan elektrik dapat disambung ke SK Bukit Arip.

“Kami amat berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat melakukan sesuatu untuk membantu SK Bukit Arip mendapatkan bekalan elektrik daripada SESCO kerana untuk jangka masa panjang, kos bekalan elektrik daripada SESCO lebih menjimatkan daripada kos bekalan elektrik daripada generator,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak sekolah berharap Kerajaan Sarawak dapat menyegerakan pembinaan dewan sekolah untuk menempatkan penduduk sekitar sekolah ketika musim banjir.

“Sekolah ini telah digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir untuk menempatkan penduduk kampung di sekitar kawasan sekolah.

“Disebabkan jumlah murid yang ramai, sekolah tidak mempunyai banyak bilik untuk digunakan penduduk kampung yang terpaksa datang ke sekolah akibat banjir.

“Atas sebab itu, pembinaan dewan sekolah dengan segera akan dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk digunakan oleh mangsa banjir,” kata Benjamin.

Beliau turut menyentuh tentang keadaan padang sekolah yang yang berbatu  dan tidak sesuai untuk aktiviti bersukan.

Benjamin berkata SK Bukit Arip telah melahirkan ramai atlet berbakat diperingkat daerah, bahagian dan negeri tetapi malangnya keadaan padang yang berbatu membantutkan usaha menghasilkan lebih ramai atlet.

“Saya difahamkan Kementerian Belia dan Sukan mahu sekolah-sekolah rendah melahirkan ramai atlet muda yang boleh digilap untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Malangnya keadaan padang sekolah yang berbatu menjadi batu penghalang kepada sekolah untuk menyahut seruan ini sepenuhnya,” katanya sambil menambah, ramai bekas pelajar SK Bukit Arip menyambung pelajar di Sekolah Sukan Tabuan Jaya.

Benjamin juga memaklumkan bahawa SK Bukit Arip satu-satunya sekolah di daerah Selangau di mana guru-guru tidak menerima elaun pedalaman atau elaun sukar sejak 2008.

“Permohonan sudah banyak kali dikemukakan tetapi saya tak tahu kenapa tiada pembayaran sehingga kini,” katanya.

Sementaraitu, Stesen SESCO Selangau, ketika dihubungi kelmarin, memberitahu bahawa ada kabel elektrik di luar pagar sekolah yang boleh digunakan untuk menyalurkan bekalan elektrik ke SK Bukit Arip.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...