Satu Jawatankuasa Khas pantau projek diwujudkan kata Ketua Menteri Sarawak




BETONG: Yang Amat Berhormat (YAB), Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg memberitahu satu Jawatankuasa Khas diwujudkan bagi memantau projek-projek yang telah diumumkan dan dilaksanakan sepanjang dua tahun beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Menurut beliau, Jawatankuasa Khas itu diwujudkan bagi memastikan semua perancangan dapat disempurnakan mengikut jadual.

Jelasnya, mengikut prosedur operasi standard setiap pelaksanaan sesebuah projek pembangunan adalah mengambil masa.

“Setelah diumum ianya mengambil masa enam bulan hingga setahun barulah tawaran dapat diberikan kepada kontraktor.

Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS

“Proses ini adalah bagi melengkapkan prosedur operasi standard dan pemilihan kontraktor yang telus dan terbuka akan dilakukan selepas itu,” katanya semasa Majlis Makan Malam Masyarakat Bahagian Betong Bersama YAB Ketua Menteri di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ketua Menteri menambah, selagi kerajaan negeri sedia ada masih menerajui kepimpinan Sarawak, segala projek pembangunan akan berterusan dan berkesinambungan.

“Hari ini, kita meninjau dan memantau pelaksanaan projek di Bahagian Betong antaranya jalan raya RM199.5 juta, 14 projek bekalan air (RM102.4 juta).

“Projek lapangan terbang Betong dengan kos RM101 juta, menara telekomunikasi (RM50 juta) pembangunan sekolah (RM48.2 juta) tebatan banjir Betong (RM20.5 juta), bangunan kerajaan (RM17 juta), kemudahan sukan (RM14.5 juta), jambatan (RM7.4 juta), projek pertanian (RM7 juta), Waterfront Spaoh (RM6.4 juta) dan CENTEXS (RM1 juta).

“Jumlah keseluruhan semua projek ini adalah sebanyak RM650.3 juta dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri telah telah mengumumkan tambahan peruntukan lebih RM20 juta untuk projek di bahagian itu.

Peruntukan tambahan tersebut adalah bagi projek Jalan Akses Skuyat Lama (RM6.5 juta), Market Spaoh (RM5 juta) dan tebatan banjir di sekitar Betong (RM10 juta).

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...