Lapangan Terbang Tanjung Manis bertaraf antarabangsa



KUCHING: Tanjung Manis di bahagian Mukah hari ini sudah mempunyai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang diiktiraf penggunaannya oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ia merupakan lapangan terbang dalam kategori 2B (panjang medan minimum yang diperlukan pesawat untuk berlepas di antara 800 hingga 1,200 meter dan panjang sayap di antara 15 hingga 24m), yang dibina mengikut standard antarabangsa.

Tiga lagi lapangan terbang jenis 2B yang lain seperti di Mukah, Lawas dan Marudi masih belum mendapat pengiktirafan CAAM.

Memiliki keluasan 101 hektar, lapangan terbang dengan landasan STOL (kemudahan pendaratan dan pelepasan jarak pendek) itu telah dibuka pada 2001 dan ia dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Penolong Pengurus Besar PUSAKA (Kejuruteraan dan Projek) Bill Ensol Abang berkata Tanjung Manis pada asalnya dibangunkan sebagai zon pemprosesan kayu pada 1990 bagi memenuhi keperluan industri kayu di sepanjang Sungai  Rajang di zon tengah Sarawak.

“Ketika itu, Tanjung Manis dikenali sebagai kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA), dan tujuan utama kami membina lapangan terbang di kawasan terbabit adalah untuk memudahkan urusan logistik para pelabur yang melabur di kawasan berkenaan,”
katanya kepada Bernama semasa lawatan tapak untuk wakil media anjuran agensi itu baru-baru ini.

Buat masa sekarang, hanya syarikat penerbangan MASwings sahaja yang beroperasi dari Kuching dan Mukah yang melibatkan satu penerbangan sehari.

“Masihtiada lagi penerbangan kargo dari Tanjung Manis kerana terdapat beberapa perkara yang melibatkan kos.

Segala urusan kargo diuruskan di Lapangan Terbang Sibu buat sementara,” katanya.

Sesuai dengan jarak landasan yang pendek, hanya pesawat De Havilland Canada Dhc-6 atau lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan panggilan Twin Otter dan Bombardier Regional Jet Crj-200 sahaja yang boleh menggunakan lapangan terbang itu.

Panjang landasan adalah 1,500 meter dan setiap pesawat mengambil masa 10 hingga 15 saat sahaja ketika berlepas.

Ensol berkata lapangan terbang itu mempunyai keluasan tanah sebanyak 101 hektar lagi sekiranya terdapat perancangan untuk menaik taraf kategori lapangan terbang itu.

“Landasannya boleh dipanjangkan untuk kegunaan pesawat Boeing 737-100 sepanjang 28.6m,” katanya.

Pada  2009, kerajaan Sarawak memperkenalkan industri berasaskan halal dengan objektif menjadikan Tanjung Manis sebagai hab pengeluaran ikan terbesar negara dan kewujudan sebuah lapangan terbang akan memudahkan usaha tersebut.

Pelabur juga akan diberikan Status Taman Halal Malaysia  (Halmas) dengan insentif menarik dan perkhidmatan sokongan pensijilan halal.

Keseluruhan kawasan yang dikhususkan  bagi zon halal di Tanjung Manis adalah kira-kira 35,000 hektar, daripada 124,000 hektar yang diperuntukkan bagi industri tumpuan di T-Mega.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...