Pasrah diuji dua kali dengan tragedi kebakaran - mangsa kebakaran Kampung Baharu





Ariff dan isterinya, Mariam Rosli kelihatan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka.Rumah sewa(tingkat bawah) yang didiami Ariff dan keluarga musnah dalam kebakaran.
 
SIBU: Ariff Kadri,49, tidak menyangka impian untuk membina kehidupan baharu bersama keluarga selepas rumahnya musnah dalam tragedi kebakaran Kampung Datu tahun 2013 lalu, hancur berkecai apabila sekali lagi rumah yang didiaminya di Kampung Baharu di sini, ranap dalam kebakaran sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Ariff ketika ditemui Utusan Borneo  kelihatan sayu dan pasrah dengan nasib yang menimpa beliau dan keluarganya.



Lebih memilukan apabila tragedi itu menyebabkan hampir sebahagian besar harta benda yang beliau kumpul selepas tragedi kebakaran Kampung Datu lalu musnah sama sekali.

"Dahulu kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak ada apa-apa yang dapat diselamatkan.

"Nampaknya, hari ini kami sekali lagi bermula dari kosong," katanya dengan nada sebak.

Menurut Ariff, beliau mula menyewa di rumah tersebut sejak tahun 2014 dan telah membeli  semula pelbagai perabot dan barangan elektrik dan elektronik

Sementara itu, menceritakan detik sebelum kebakaran, Ariff berkata ketika kejadian beliau sedang bersiap mengambil wuduk untuk ke masjid bagi solat Jumaat, namun dikejutkan dengan bunyi letupan dari arah belakang rumahnya.

"Pada waktu itu, saya bergegas ke pintu belakang dan melihat asap tebal berserta api sedang marak dari sebuah rumah di belakang rumah kami.

"Tanpa berfikir panjang, saya sekeluarga segera menyelamatkan barangan yang penting dan keluar dari rumah. Kurang dari 30 minit, rumah kami sudah dijilat api," kata Ariff.

Semasa kejadian, isteri dan anaknya serta anak saudara berada dalam rumah tersebut dan sempat keluar menyelamatkan diri.
Menurut Ariff lagi, beliau menganggarkan jumlah kerugian adalah lebih RM30,000.-Utusan Borneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...