Mudah buat Perancis benam Moldova



Antoine Griezmann pada aksi menentang Moldova di Chisinau pada pembukaan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi. - Foto AFP

PARIS: Pemain sayap Antoine Griezmann menjaringkan satu gol dan membantu untuk satu lagi ketika juara Dunia, Perancis menang mudah 4-1 mengatasi Moldova di Chisinau pada pembukaan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

Penyerang Atletico Madrid itu membuka jaringan pada minit ke-24 saingan Kumpulan H sebelum menghantar bola lintang kepada Raphael Varane yang menggandakan jaringan tiga minit kemudian.

Olivier Giroud menyamai jumlah jaringan David Trezeguet sebagai pemain ketiga terbanyak menjaringkan gol buat Les Bleus menerusi jaringan antarabangsa ke-34 sembilan minit sebelum rehat dan Kylian Mbappe melengkapkannya tiga minit kemudian.

Vladimir Ambros menjaringkan gol saguhati buat Moldova.

Pertahanan kiri Layvin Kurzawa menjadi pemain tunggal diberikan peluang dalam kesebelasan utama tanpa gelaran Piala Dunia ketika pemain sayap Bayern Munich, Kingsley Coman mengalami masalah otot ketika pemanas badan dan digantikan Blaise Matuidi.

"Kami bermain sangat baik pada babak pertama dalam aspek kawalan dan ketika menyerang. Babak kedua kurang bagus kerana masalah pertukaran pemain," kata jurulatih Didier Deschamps.

"Kami membuka kempen dengan bagus dan perlawanan kedua akan hadir dengan cepat. Dalam tiga hari kami perlu melakukannya sekali lagi," kata Deschamps menjelang pertemuan dengan Iceland awal pagi Selasa ini. - AFP

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...