Mangsa penipuan diminta tampil buat laporan polis


 


BUAT LAPORAN: Mustafa ketika sidang media di Kuching semalam.

KUCHING: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah meminta lapan anak Sarawak yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Monrovia, Liberia tampil memberi keterangan dan membuat laporan polis.

Beliau memberitahu, ia bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi mencari dalang sindiket berkenaan.

“Namun, kita telah menghantar seorang pegawai penyiasat di Lapangan Terbang Sibu bagi mengambil keterangan daripada kesemua lapan mangsa.

“Pada masa sama kita menasihati kelapan-lapan mereka tampil memberi keterangan dan membuat laporan polis supaya kita dapat menyiasat dan mencari dalang penipuan pekerjaan ini,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat JSJK, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini semalam.

Kes penipuan pekerjaan itu terbongkar susulan insiden yang menimpa lapan warga tempatan yang ditinggalkan terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari lalu.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii yang memberitahu bahawa kesemua mangsa dihantar pulang ke negeri ini malam tadi dengan diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, beliau sendiri dan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol.

Menurutnya, insiden tersebut adalah sama dengan kes membabitkan 47 warga Malaysia yang ditahan di Kemboja baru-baru ini.

Kementerian Luar Negeri menerusi usaha diplomatik dan konsular telah berjaya membawa pulang lapan rakyat Malaysia yang ditinggalkan terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari 2019.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan akhbarnya semalam berkata usaha itu termasuk sepucuk surat dihantar oleh Saifuddin kepada rakan sejawatannya,

Menteri Luar Liberia Gbehzohgar M. Findley memaklumkan lapan rakyat Malaysia terkandas di negara itu seterusnya meminta bantuan Kerajaan Liberia menghantar mereka pulang ke tanah air.

Bagi memastikan kejayaan misi itu, kementerian turut menghantar dua pegawainya sebagai duta khas ke Monrovia pada 26 Februari 2019.

Sehubungan itu Kerajaan Malaysia amat menghargai bantuan dan kerjasama yang diberikan Kerajaan Liberia untuk membebas serta menghantar pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.

Menurut Kementerian Luar Negeri kesemua rakyat Malaysia yang ditipu oleh sindiket pekerjaan tempatan itu berasal dari Sarawak yang berusia antara 39 hingga 66 tahun.

Mereka ialah Gawan Masin, Enyang Ato, Aji Surau, Untol Luyang, Salim Tahir, Suhaili Gani, Bon Egat dan Dingai Nyalak.

Selepas mendapat dokumen-dokumen perjalanan diperlukan serta kelulusan daripada pihak berkuasa Liberia, kesemua mangsa berlepas ke Kuala Lumpur semalam bersama duta khas daripada Kementerian Luar Negeri.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...