Malaysia gagal robohkan Tembok Besar China




PEMAIN Malaysia, Muhammad Hadi Fayyadh diasak pemain China, Li Yang (dua dari kiri) pada aksi terakhir Kumpulan J saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Sairien Nafis


SHAH ALAM: Skuad Datuk Ong Kim Swee tiada tuah.

Hanya itu ungkapan yang mampu merungkai perjalanan 90 minit skuad negara selepas mengikat China 2-2 pada aksi terakhir Kumpulan J saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Apapun, sekalung tahniah wajar diberikan kepada anak buah Kim Swee kerana langsung tidak menunjukkan rasa gentar menentang lawan yang boleh dilabel selaku gergasi bola sepak di benua Asia itu.

Tidak hanya keputusan yang menjadikan penanda aras sebaliknya perlawanan itu seakan mengajar negara Tembok Besar itu, selepas skuad negara dua kali mendahului lawan namun lawan jelas memanfaatkan kelebihan fizikal apabila kedua-dua jaringan mereka dihasilkan menerusi tandukan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan China layak secara automatik ke pusingan akhir B-23 AFC di Bangkok tahun depan selepas menjuarai Kumpulan J dengan himpunan tujuh mata hasil dua kemenangan iaitu menewaskan Laos (5-) dan Filipina (8-0) selain seri dengan Malaysia.

Skuad bimbingan Kim Swee pula menduduki tangga kedua selepas turut mengumpulkan tujuh mata, hasil kemenangan 3-0 ke atas Filipina dan Laos (1-0), namun dibezakan dengan jumlah jaringan. Malaysia kini mengharapkan turut layak ke Bangkok selaku naib juara kumpulan yang menyediakan empat tempat.


PEMAIN Malaysia, Nik Akif Syahiran diasak pemain China, Hu Jinghang (kiri) pada aksi terakhir Kumpulan J saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Sairien Nafis

Apapun, seperti dijangka dalam perlawanan sebentar tadi, China memulakan perlawanan cukup agresif ketika skuad negara seakan masih membaca permainan namun masih tetap mampu menguji benteng lawan buat beberapa kali.

Pada minit ke-11, Muhammad Syahmi Safari sekali lagi membuktikan betapa dia memiliki kemampuan, kali ini muncul pencetus kepada jaringan pembukaan perlawanan selepas hantaran lintangnya tertampan kaki pertahanan lawan, Zhu Chen Jie sebelum bola menerjah ke gawang China.

Bagaimanapun jaringan itu hanya bertahan lima minit selepas Zhang Yuning kembali menyamakan kedudukan untuk melengkapkan 45 minit pertama dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sembilan minit separuh masa kedua, kesilapan penjaga gol China, Chen Wei yang gagal menangkap kemas bola sepakan sudut nyata kembali meriuhkan suasana Stadium Shah Alam apabila Muhammad Danial Haqim pantas meluru untuk menampan masuk gol kedua Malaysia.

Situasi itu jelas beri keyakinan buah pemain negara yang dilihat selesa bertukar hantaran, sebaliknya anak buah Guus Hiddink terus dihimpit tekanan apabila segala usaha diatur sering menemui jalan buntu.

Ketika impian penyokong negara sudah bersiap untuk meraikan kejayaan layak ke pusingan akhir di Thailand tahun depan, pertahanan lawan, Jiang Sheng Long muncul sebagai pemusnah meledak gol kedua China pada minit ke-83.


PEMAIN Malaysia, Muhamad Shahrul Nizam diasak pemain China, Lin Liangming pada aksi terakhir Kumpulan J saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Sairien Nafis

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...