Isu Pencemaran Sisa Kimia di Pasir Gudang: 34 buah sekolah diarah tutup serta-merta




KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan 34 buah sekolah ditutup serta merta berikutan kes pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata dalam satu kenyataan medianya yang dikeluarkan sebentar tadi, “saya difahamkan
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan YAB Menteri Besar Johor sedang bersidang sekarang bersama-sama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM ) dan Majlis Keselamatan Negeri.

Jelasnya, “semalam saya telah turun ke Pasir Gudang dan meluangkan masa hampir separuh hari melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail dan Saya juga ke Bilik Gerakan Bencana di Dewan Taman Pasir Putih. ”

“Di sana saya menyaksikan lebih 50 pelajar dihantar oleh ambulans tanpa henti dari sekolah berdekatan kerana sesak nafas dan mengalami simptom yang sama dengan mangsa sebelum ini,” katanya yang juga

Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Jelasnya lagi, “Setelah melihat situasi yang semakin meruncing itu, saya telah mengarahkan semua sekolah dalam radius tiga kilometer ditutup serta-merta dan arahan ini melibatkan 11 sekolah secara keseluruhan.”

“Malangnya, hari ini saya dimaklumkan keadaan semakin kritikal. Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak murid dan warga sekolah, saya telah mengarahkan sebanyak 34 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup serta-merta pada hari ini juga. Para guru juga tidak perlu bertugas kerana keadaan masih bahaya,” ujarnya.

Tambahnya , “Saya ingin menegaskan, sejak dari awal kes ini berlaku pada 7 Mac lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama erat dengan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk memastikan keselamatan murid, guru dan pekerja sekolah menjadi keutamaan.”

Tegas Maszlee, “KPM memandang serius isu ini memandangkan ia melibatkan risiko nyawa kepada murid, guru dan pekerja sekolah dan KPM menggesa penjenayah yang melakukan kesalahan berat ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera.”

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...