Hospital baharu bakal dibina di Miri




UNTUK NYAWA: Dr Teo (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pembantu pegawai perubatan yang menderma darah di Bank Darah Hospital Miri semalam.

MIRI: Sebuah hospital baharu akan dibina di sini bagi menangani masalah kesesakan pesakit dan jumlah semakin bertambah mendapatkan rawatan di pusat-pusat penjagaan kesihatan kerajaan sekitar bandar raya ini.

Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata, Hospital Miri baharu itu menjadi projek hospital besar pertama diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak mempunyai butir-butir lengkap tetapi saya boleh mengatakan ia adalah sebuah hospital besar yang mampu menampung kapasiti 330 katil dan hampir sama dengan Hospital Miri ketika ini.

“Setakat ini, di peringkat kementerian mereka dalam proses perolehan dan tender telah dibuka. Saya percaya kerajaan memberi butiran lebih lanjut termasuk lokasi hospital baharu itu tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada Hari Pembantu Perubatan Bahagian Miri dan Program Derma Darah Peringkat Negeri di Hospital Miri semalam.

Dr Teo kemudian dibawa ke bank darah untuk program derma darah diadakan serentak  di seluruh negara dengan semua penolong pegawai perubatan menderma darah dan program itu dimasukkan dalam buku Malaysia Book of Records (MBR).

Mengenai pembekalan darah, Dr Teo menyeru orang ramai membantu menderma darah kerana Hospital Miri memerlukan 700 pain darah setiap bulan. Kadang-kadang Bank Darah Hospital Miri berdepan masalah kekurangan darah.

“Program dianjurkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini satu usaha amat baik untuk mendapatkan sokongan orang ramai agar memainkan peranan dengan menderma darah,” katanya.

Bank darah Hospital Miri terbuka kepada orang awam dan memberi ganjaran atau menghargai penderma atas tindakan mulia mereka yang merupakan langkah besar membawa lebih ramai orang awam tampil ke hadapan sebagai penderma darah.

“Kita tidak boleh membuat darah tiruan, justeru kita masih amat memerlukan darah manusia dan mendapatkan kumpulan penderma darah secara berterusan kerana amat penting untuk menyelamatkan nyawa insan memerlukannya,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai masalah kerosakan pendingin hawa di Poliklinik Miri, Dr Teo berkata perkara itu akan dipertimbangkan dan beliau akan melawat klinik terbabit hari ini (6 Mac) untuk melihat sendiri keadaannya.

“Saya baharu mengetahui perkara itu hari ini (semalam) dan saya melawat klinik esok (hari ini) dan berusaha membantu menyelesaikan masalah dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Dr Teo menyumbang dana sebanyak RM5,000 kepada Kesatuan Pembantu Perubatan dan menyampaikan anugerah Tokoh Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Harapan kepada Chua Hsio Kiat dari Poliklinik Miri dan Stefan Denis dari Jabatan Ortopedik, Hospital Miri.

Turut disampaikan Tokoh PPP yang diberikan kepada Titi Ida daripada Unit Pembangunan Kesihatan Primer yang bertugas sejak Mac 1986 dan Jhonny Lawai Jalong yang berkhidmat selama 31 tahun.

Turut hadir Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong dan pengerusi Program Derma Darah Omaramiyah Mejah.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...