Dadah: Empat termasuk warga asing ditahan di Serian  



Dadah yang dianggarkan bernilai RM1,000 yang dirampas dari kesemua suspek. - Gambar ihsan polis 
SERIAN: Empat individu ditahan apabila didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu dalam tiga tangkapan berasingan pada Jumaat.

Menurut Ketua Balai Polis Serian DSP Aswandy Anis, kesemua lelaki yang diberkas, termasuk seorang warganegara Indonesia, berumur antara 25 hingga 39 tahun.

"Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih kurang RM1,000 di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu malam.

Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki dari DSN Sontas, Entikong, Sanggau, Indonesia di hadapan pos kawalan sempadan, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu pada pukul 9.45 pagi.

Menurutnya, penahanan lelaki, 26, dibuat anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas selepas mendapatinya memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.3 gram.

"Pemeriksaan badan yang dijalankan menjumpai satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine di poket seluar lelaki warga Indonesia terbabit," katanya.

Manakala sekitar 1.15 tengah hari, Aswandy berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian menahan dua orang lelaki, juga kerana memiliki dadah jenis methamphetamine.

"Mereka ditahan dalam sebuah kenderaan di tepi jalan di Kampung Saan, Tebedu di mana hasil pemeriksaan menemui satu beg warna coklat mengandungi 10 peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai methamphetamine seberat 8.5 gram," katanya.

Kedua-dua lelaki warga tempatan itu yang berusia 25 dan 29 tahun, masing-masing dari Taman Pasir dan Kampung Kemayau di sini ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, Aswandy berkata tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki, 39, dari Batu 5, Jalan Serian-Sri Aman pada pukul 7.30 malam di tepi jalan Kampung Kemayau 1, di sini.

Katanya, penahanan lelaki terbabit dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian setelah menjumpai tiga paket lutsinar berisi methamphetamine seberat seberat 3.3 gram.

"Dadah tersebut ditemui dalam kotak rokok dari poket seluar lelaki berkenaan," katanya.

Aswandy berkata kesemua suspek yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan lanjut dan ujian saringan awal air kencing mendapati semuanya positif dadah.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...