Budak tiga tahun disyaki didera penjaga, suami



 
LIMBANG: Penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dipercayai didera penjaga serta suami terbongkar selepas dia dihantar ke Hospital Limbang untuk mendapatkan rawatan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata kejadian itu terbongkar selepas kanak-kanak terbabit dihantar oleh penjaga yang juga ibu saudaranya dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk mendapatkan rawatan sekitar pukul 8 malam.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati banyak kesan lebam di seluruh badan.

"Ibu saudara mangsa memberitahu pihak hospital bahawa suaminya melihat kanak-kanak tersebut tergelincir di tepi sungai dan terhantuk di kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pihak hospital mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak kiri, calar pada pipi kiri dan kanan, lebam pada dahi, dagu, lengan kiri, paha kiri dan kanan, dan juga belakang badan.

"Terdapat juga kesan luka di bawah leher dan luka lama pada bahagian perut mangsa," jelasnya.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati tukang sapu berusia 20 tahun itu tidak mengetahui dan tidak melihat  mangsa tergelincir di tepi sungai dan terhantuk di kepala kerana bekerja ketika kejadian.

"Penjaga mengaku pernah merotan mangsa menggunakan penyangkut baju sebelum ini sebagai pengajaran agar tidak nakal. 

"Penjaga juga memberitahu suaminya selalu memukul mangsa menggunakan tangan dan mengugut sebelum ini," katanya lagi.

Menurut Mohd Bukhori lagi, mangsa ditinggalkan untuk dijaga wanita tersebut oleh ibunya pada Ogos tahun lepas apabila menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah.Bapa mangsa tidak dapat dikenal pasti oleh penjaganya.  

Susulan itu, suspek ditahan jam awal pagi ini, dan polis sedang giat mengesan suami suspek untuk membantu siasatan di bawah Seksyen  31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (dera).-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...