
KUANTAN: Kerajaan sedang berusaha membantu menyelesaikan masalah berkaitan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja sejak Disember lalu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihak Kedutaan Besar Malaysia sudah mengemukakan Nota Diplomatik kepada Kementerian Luar negara terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung penahanan itu.
"Kenyataan mengenai perkara ini kita (Wisma Putra) sudah dikeluarkan malam tadi, kita sedang berusaha membantu mereka dan saya difahamkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng (Wei Shien) pun banyak membantu ahli keluarga mangsa.
"Kita harap ia dapat diselesaikan dengan baik... kaunselor kita di sana juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi membantu memudahkan urusan mereka yang ditahan... mereka juga sudah melawat semua rakyat kita yang ditahan di sana bagi memastikan kebajikan mereka terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zolkopli Dahalan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Semalam, Larry Sng dalam sidang media di Kuching, Sarawak mendedahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja sejak 11 Disember lalu, selepas diumpan dengan janji manis gaji lumayan dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia.
Sebahagian besar yang ditahan adalah anak muda seawal usia 19 tahun hingga 44 tahun, gara-gara termakan dengan taktik licik sindiket yang menjadikan kumpulan masyarakat daripada keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama.
Ahli Parlimen Julau itu dilaporkan berkata, daripada 47 rakyat negara ini yang ditahan, 44 daripadanya adalah anak muda Sarawak, berasal daripada keluarga miskin dari setiap pelusuk negeri ini, termasuk membabitkan belia Melayu, Iban dan Melanau.
Sementara itu, mengulas mengenai hasil mesyuarat pertama Majlis Tindakan Negeri hari ini, Saifuddin berkata, beberapa cadangan sudah dikenal pasti untuk mengatasi isu berbangkit seperti projek bermasalah di Pahang.
"Masih terlalu awal untuk kita membuat rumusan hasil mesyuarat dan persetujuan yang kita capai memandangkan ini adalah (mesyuarat) kali pertama... tetapi, ada perkembangan positif dan cadangan yang kita boleh perhalusi... kita akan tubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Negeri Pahang yang akan dianggotai wakil kerajaan negeri dan Pusat; syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Dewan Perniagaan serta wakil masyarakat setempat atau persatuan tertentu.
"Antaranya, dasar memperbaiki kaedah pembasmian kemiskinan dan mengkaji kaedah mengurangkan projek bermasalah seperti mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit secara langsung dalam projek bermasalah itu," katanya.-BH Online
No comments:
Post a Comment