
KUCHING: Kerajaan Sarawak menghormati undang-undang kerajaan Kemboja dan yakin pihak berkuasa negara itu akan menjalankan siasatan adil terhadap 47 warganegara Malaysia, khususnya 44 orang belia berasal dari Sarawak yang kini ditahan di sebuah penjara di sebuah wilayah negara itu.
“Kita yakin Wisma Putra dapat menangani isu penahanan rakyat Malaysia yang berasal di Sarawak dengan baik dan kita menghormati sepenuhnya undang-undang negara Kemboja,” tegas Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali ketika dihubungi Utusan Borneo.
Hasidah berkata isu ini dapat diselesaikan dengan baik memandangkan ia melibatkan hubungan antara dua negara berjiran dalam rantau ASEAN yang mempunyai hubungan yang sangat akrab namun semua pihak perlu bertenang kerana pihak berkuasa Kemboja difahamkan masih manjalankan siasatan terperinci berhubung tuduhan penglibatan para tahanan dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Menurut beliau kerajaan negeri memantau kes ini dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menjelaskan isu ini kepada media di Miri berhubung perancangan dan tindakan kerajaan negeri Sarawak menangani isu itu kerana ia melibatkan dua buah negara berdaulat.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata tumpuan utama akan diberikan kepada usaha membawa pulang kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Poi Pet, Kemboja dengan segera dan selamat.
Kerajaan Kemboja katanya memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka yang ditahan sejak 11 Dis lepas.
Usaha membawa pulang itu turut dilakukan oleh Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, yang memaklumkan 44 daripada 47 rakyat yang ditahan ialah anak muda Sarawak, jelasnya.
"Kita mendapatkan info terkini mengenai situasi ini. Pegawai kita juga sudah berhubung dengan mereka untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik. Semua keluarga yang terlibat juga sudah maklum dengan penahanan itu," katanya.
Semalam, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu.
Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Jelasnya, makluman penahanan tersebut hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment