
MIRI: Kerajaan Negeri mempertimbang menghantar wakil ke Kemboja untuk memudahkan rundingan bagi membebaskan 44 rakyat Sarawak yang kini ditahan di sebuah penjara daerah di Kemboja.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak sentiasa berhubung dengan wakil Pejabat Luar Malaysia di Kuching mengenai isu penahanan dan mengamalkan pendekatan dua hala.
"Kita dimaklumkan mengenai penahanan 44 warga Sarawak oleh pihak berkuasa Kemboja, tetapi kita berpendirian untuk membenarkan rundingan oleh kerajaan Malaysia dan Kemboja akan dijalankan tanpa publisiti," katanya.
"Memandangkan perbincangan masih berterusan, kita tidak dapat memberikan publisiti secara meluas mengenai perkara ini kerana khuatir ia akan memberikan mesej yang salah,” katanya kepada Utusan Borneo selepas mengadakan kunjungan rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di kediaman Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Lee Kim Shin, hari ini.
Abang Johari turut mengingatkan rakyat Sarawak agar berhati-hati menerima tawaran pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan untuk menggelakkan mereka ditipu melakukan aktiviti haram di luar negara.
“Pesan saya kepada rakyat Sarawak, jangan tertipu dengan agensi palsu yang menawarkan pekerjaan di luar negara. Mereka patut mengesahkan tawaran itu sebelum pergi,” katanya.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment