Promosi bubuk rancak menerusi media sosial





HANGAT DI PASARAN: Lambakan bubuk dijual di gerai hadapan pantai Lutong berhampiran tapak bekas lapangan terbang lama Lutong.

MIRI: Pautan komunikasi media sosial pantas seperti Facebook dan Whatsapp ketika ini telah merancakkan ‘promosi’ dan jualan bubuk secara atas talian.

Melalui ‘promosi’ percuma itu, orang ramai berkongsi maklumat secara terus sama ada lokasi-lokasi jualan bubuk, harga semasa dijual dan tidak kurang lokasi pendaratan nelayan menyebabkan ramai pembeli berada di lokasi menunggu kepulangan nelayan.

Semuanya gara-gara mahu mendapatkan bubuk segar dan bersih dari laut kerana kesegaran bagi pembeli menjamin kualiti dan rasanya, sama ada bubuk itu digunakan membuat belacan dan air belacan, cencaluk atau bubuk kering.    

Berikutan promosi itu, tinjauan Utusan Borneo mendapati pasar-pasar ikan Kampung Batu Satu Kuala Baram, Kampung Piasau Utara, Kampung Luak dan Kampung Kuala Bakam semakin menjadi tumpuan mendapatkan bekalan bubuk.

Difahamkan belacan Miri bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dari serata negeri ini dan

Semenanjung Malaysia malah luar negara seperti Brunei, Singapura dan Timur Tengah pernah membeli belacan ini sama ada secara terus (di Miri) atau daripada pembekal tempatan di sini.

Tidak kurang juga penjaja kuih-muih ingin menambahkan keistimewaan jualan mereka dengan ‘cucur bubuk’ dan tempe udang dijual ketika musim bubuk sahaja.

Tinjauan mendapati harga bubuk ketika ini antara RM6 hingga RM7 sekilogram dengan penduduk di Miri dari awal pagi sudah menunggu di kawasan pantai Batu Satu Kuala Baram dan Kampung Bakam untuk mendapatkan bekalan bubuk segar.

Di sebalik kerancakan ‘promosi’ bubuk ini secara online, golongan nelayan turut memanfaatkan kemudahan canggih teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Nelayan memiliki telefon bimbit pintar turut berkongsi maklumat dan mengetahui lokasi tepat di mana mereka boleh mendapatkan banyak tangkapan terutama musim bubuk.

Nelayan Kampung Pulau Melayu di sini, Daud Lamat berkata kebanyakan nelayan mempunyai telefon bimbit dan mereka mempunyai kumpulan Whatsapp (WAG) masing-masing serta laman sosial Facebook.

“Sebagai contoh, salah seorang nelayan terlihat kumpulan udang kecil atau bubuk di laut kemudian terus memaklumkan kepada rakan-rakan nelayan lain untuk bersama-sama datang dan menyertai aktiviti menangkap bubuk,” katanya.

Begitu juga jika ada ancaman berlaku atau mereka memerlukan bantuan kes kecemasan seperti kehabisan bekalan minyak, air atau kerosakan enjin mereka berhubung dan meminta bantuan rakan-rakan lain.

“Tidak dapat dinafikan media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan nelayan kerana lebih mudah sama ada menangkap bubuk atau ikan di laut,” katanya.

Beliau menambah, dengan adanya WAG dan Facebook maka lokasi dan kumpulan bubuk atau ikan ditemui dimuat naik dalam laman-laman sosial sehingga bukan nelayan sahaja yang tahu lokasi sebaliknya orang awam yang menunggu ketibaan nelayan dari laut.   

Menurut Daud, bubuk yang ditangkap dalam jumlah pukal sekali gus memberi kelegaan dan kegembiraan kepada nelayan menunjukkan ia musim bermakna bagi menambah pendapatan yang sangat diperlukan menyara keluarga mereka.

“Bubuk yang terdapat di perairan di sini dikenali sebagai yang terbaik untuk membuat belacan dan cencaluk.

“Dalam tempoh ini, nelayan mungkin hanya tidur empat hingga lima jam sahaja kerana mereka banyak menghabiskan masa di laut terutama ketika musim bubuk,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perikanan di sini ketika dihubungi mengingatkan nelayan supaya sentiasa mengikut garis panduan ditetapkan serta mematuhi peraturan dan larangan tidak boleh dilakukan mereka.

Jabatan itu juga tumpang gembira dengan hasil tangkapan baik dan menyokong komuniti penangkapan ikan berhubung kaedah penangkapan bubuk yang betul untuk memelihara dan memastikan hidupan marin di perairan terus berlimpah.

Biasanya, musim bubuk berlaku antara Februari dan April setiap tahun.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...