Subsidi tiket kapal terbang kepada pelajar IPT ringankan beban pelajar





ANGPAU: Awang Tengah menyerahkan sumbangan kepada warga emas kaum Cina.

LIMBANG: Pemberian subsidi untuk membeli tiket kapal terbang kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) balik ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan ketika musim perayaan dapat meringankan beban pelajar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Inisiatif Graduan Pulang Sarawak 2019 diluluskan Abang Johari pada sesi Town Hall Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 di Kuala Lumpur.
Pada acara itu, katanya para pelajar IPT dari Sarawak memohon subsidi tiket kapal terbang untuk balik ke Sarawak semasa musim perayaan.

“Ketua Menteri telah meluluskan inisiatif bagi meringankan beban pelajar Sarawak untuk membeli tiket penerbangan balik bermula musim perayaan Tahun Baru Cina 2019,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Hockien Limbang di Dewan Suarah Limbang malam kelmarin.

Turut hadir isteri Awang Tengah Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said,  Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata setiap pelajar layak memohon subsidi ini dua kali sahaja setahun.

Pemohon katanya, perlu mengemukakan bukti pembelian tiket penerbangan, dokumen akses memasuki pesawat (boarding pass) dan surat pengesahan sebagai pelajar IPT.

“Inilah bukti keprihatinan kerajaan negeri yang dipimpin GPS diterajui Abang Johari.
“Kita mempunyai perjuangan memenuhi aspirasi orang Sarawak dan memastikan kekayaan negeri ini dinikmati rakyat Sarawak sendiri,”ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa Sarawak terus mencatat peningkatan dari segi pendapatan yang membuktikan ekonomi kukuh selain tadbir urus kerajaan baik sedia ada.

Tambah beliau dari segi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Sarawak mencatat 4.7 peratus pada tahun lepas iaitu lebih dua kali ganda kadar pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Ia menjadikan Sarawak ekonomi ketiga terbesar di belakang Kuala Lumpur dan Selangor, yang menyumbang 9.7 peratus kepada KDNK negara,” katanya.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...