Penghidap Sklerosis Berbilang mohon bantuan orang ramai



 


RINGANKAN BEBAN: Nurassyikin memohon pihak yang prihatin tampil menghulurkan sumbangan.

KUCHING: “Didiagnos menghidap penyakit Sklerosis Berbilang sejak empat tahun lalu, benar-benar mengubah nasib saya.” Itulah luahan Nurassyikin Seddi, 25, ketika ditemui pemberita semalam.

Malam kelmarin, tular di media sosial apabila Nurassyikin memuat naik status kicau di laman Twitter miliknya, memohon sumbangan dan perhatian daripada orang ramai agar tampil membantunya untuk mendapatkan bekalan ubat bagi merawat penyakit yang dihidapinya.

Beliau memberitahu, kos bekalan ubat yang diperlukannya itu agak mahal dan ia perlu diambil sebanyak lapan dos untuk sekali rawatan sahaja.

“Harga ubat yang diberikan kepada saya mencecah lebih RM280,000. Saya pada mulanya terkejut dan berfikir, mampukah saya atau keluarga saya mendapatkan sejumlah wang yang agak besar itu untuk merawat penyakit saya ini.

“Ubat ini adalah ubat pencegahan agar saya tidak terus cacat buat selama-lamanya. Justeru, saya tampil untuk memohon sumbangan orang ramai yang prihatin,” katanya.

Mengimbau pertama kali beliau didiagnos penyakit itu, Nurassyikin berkata, simptom mula dirasai ketika beliau menuntut pada tahun pertama di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan.

Jelasnya, ketika itu, beliau dapat berasakan sesuatu perubahan yang agak ketara berlaku pada dirinya, antaranya gangguan sistem pendengaran, penglihatan dan rasa kebas separuh badan.

“Saya pada mulanya agak pelik, telinga kanan saya tidak kedengaran, penglihatan pun terganggu, berjalan pun terpaksa menggunakan tongkat kerana kaki saya begitu lemah sekali.

“Paling ketara, saya tidak dapat terdedah pada cahaya dan bunyi kerana ia akan menyebabkan saya berasa sakit kepala yang kuat sekali (vertigo) dan pada saat inilah saya terpaksa melupakan niat saya untuk meneruskan pengajian,” jelasnya.

Susulan itu, Nurassyikin telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan sebelum didiagnos menghidap penyakit tersebut.

Nurassyikin juga memberitahu, kos mendapatkan ubat tersebut adalah tanggungan sendiri pesakit kerana ia bukanlah bekalan ubat yang tersenarai di bawah subsidi atau bekalan percuma hospital kerajaan.

“Ayah saya hanya menjalankan perniagaan kedai makan kecil-kecilan di rumah, manakala ibu bekerja sebagai kerani di jabatan kerajaan, pendapatan yang ada pun hanyalah cukup-cukup makan sahaja.

Justeru, saya benar-benar mengharapkan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang prihatin dan berniat untuk menghulurkan sumbangan bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun Nurassyikin binti Seddi (1611-1901-8146 Maybank) atau menghubungi beliau di talian 014-6962355.

Setakat petang semalam, status Nurassyikin telah diulang kicau sebanyak 1,900 kali dan mendapat ‘Likes’ sebanyak 400 kali oleh para pengguna Twitter malah turut dikongsi di Facebook.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...