Ekosistem politik berubah, Sarawak tetap membangun




Taib (tengah) bersama Ragad (tujuh kanan), Abang Johari (tujuh kiri), Juma'ani (enam kanan), Hii (enam kiri) serta tetamu kehormat lain menggaul ‘Yee Sang’ semasa majlis makan malam Tahun Baru Cina anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Miri Sarawak.

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg memberitahu perbelanjaan di bawah peruntukan infrastruktur dijangka mendorong pertumbuhan ekonomi bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak kepada lima peratus tahun ini lebih tinggi daripada negara iaitu 4.7 peratus. 

Abang Johari berkata, walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS), dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan perkembangan ekonomi tidak baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang, namun ia tidak menjejaskan pembangunan Sarawak.

Katanya, walaupun ekosistem politik telah berubah namun Sarawak akan mencari pendekatan baru untuk menjadi sebuah negeri yang paling membangun di Malaysia.

Abang Johari berkata, kerajaan akan meneruskan projek pembangunan yang dihentikan oleh kerajaan persekutuan menggunakan hasil cukai eksport produk petroleum sebanyak lima peratus.

 “Kita mempunyai strategi tersendiri untuk menangani keadaan ekonomi sekarang. Cukai lima peratus terhadap produk petroleum adalah salah satu sumber pendapatan negeri.

“Saya yakin perbelanjaan awam untuk pembangunan infrastruktur Sarawak mencatat rekod tertinggi tahun ini dan beberapa tahun akan datang,” katanya berucap merasmikan majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri Sarawak di sebuah hotel di sini Jumaat malam.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Turut hadir, Presiden Persatuan Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri Sarawak Datuk Hii Teck Yun, pengerusi penganjur Datuk David Goh Kien Ping dan penasihat tetap Persatuan Cina Sarawak Datuk Hii King Chiong.

Katanya, bagi kawasan Miri, hasil cukai petroleum akan merancakkan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan raya di kawasan Baram dan perlaksanaan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) yang nanti akan menjana pendapatan negeri.

Abang Johari berkata, Sarawak akan menumpukan pembangunan luar bandar untuk merancakkan merancakkan aktiviti ekonomi tahap tinggi.

Mengenai majlis itu, beliau memuji persatuan kerana ia terus menjadi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum di Miri.

Pada majlis tersebut, Abang Johari menyampaikan replika cek berjumlah RM500,000 bertujuan membiayai premium tanah bagi membina bangunan baru persatuan. -Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...