188 penerima surat hak milik tanah Seksyen 18

MUKAH: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan surat hak milik tanah seksyen 18 kepada 188 orang penerima pada satu majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Dalat, semalam.


Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian surat pemberian milikan tanah untuk tujuan pertanian kepada 102 penerima dari Ulu Sungai Apang dan Sungai Buluh, Oya.

Dalam ucapan nya pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah menyeru rakyat agar tidak percaya mainan politik sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan negeri tidak jujur dalam memberikan surat hak milik tanah.

“Sehingga 30 April, sebanyak 26,036 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 32,376 hektar (80,003 ekar),” kata Datuk Amar Awang Tengah.

“Fokus pada tahun ini (2019) ialah, untuk mengukur lot-lot individu iaitu susulan daripada 718,522 hektar (1.776 juta ekar) yang telah diwarta untuk dikeluarkan surat hakmilik individu,”

“Pencapaian peringkat kedua program ini iaitu pengukuran lot-lot individu menjadi lebih mencabar sekiranya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pemilik tanah,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, ini jelas membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf tanah kepada pemiliknya yang berhak.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.-SarawakVoice

Hentikan pencerobohan ke atas tanah NCR kami- Tr Daniel Muking



BINTULU: Penduduk rumah panjang, Daniel Muking, Nanga Annau, Tatau kesal dengan tindakan syarikat perladangan, Hormat Pasifik yang  menceroboh Tanah Adat Bumiputera (NCR) mereka yang diwarisi dari nenek moyang sejak ratusan tahun yang lalu.

Tuai rumah Daniel Muking berkata laporan polis tentang pencerobohan telah pun dibuat di Balai Polis Daerah Tatau untuk tindakan.

Katanya, kawasan yang sedang diusahakan oleh sebuah syarikat swasta itu  adalah termasuk dalam kawasan NCR rumah panjang berkenaan.

“Oleh itu kami merayu supaya segala kerja-kerja menanam kelapa sawit atau membersihkan kawasan berkenaan dengan apa juga tujuan diberhentikan dengan serta merta termasuk jentera hendaklah dibawa keluar,” katanya Suara Sarawak.

Selain laporan polis, katanya, beliau dan anembiaknya juga memanjangkan perkara tersebut ke Pejabat Daerah Tatau termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Namun, sehingga kini, tiada tindakan yang diambil, ujarnya sambil menegaskan sebagai orang asal mereka berhak menuntut kawasan tersebut sebagai tanah warisan dari nenek moyang mereka turun temurun berdasarkan bukti-bukti sejarah peninggalan nenek moyang kami yang pernah menetap di kawasan tersebut masih wujud sehingga kini.


Tuai rumah Daniel Muking

Daniel turut menceritakan latarbelakang pencerobohan tanah NCR milik mereka di pelopori oleh sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, syarikat terbabit mula menceroboh tanah NCR mereka penghujung Januari tahun ini.

Malah, katanya, pihak syarikat turut  memaklumkan kononnya tanah NCR dibeli daripada  beberapa individu tanpa mendedahkan individu terlibat.

“Apabila saya bertanyakan perkara ini kepada anembiak, tiada seorang pun mengaku melakukannya.

Justeru, satu laporan polis dibuat pada 1 Februari tahun ini. Paling menyedihkan apabila melihat tanaman getah yang diusahakan sejak 2011 ditumbangkan oleh pihak syarikat berkenaan tanpa sebarang pampasan,ujar Daniel lagi.

Saya berharap dalam perbicaraan 18 Jun di Mahkamah Adat Bumiputera, Pejabat Daerah Tatau antara penduduk dan syarikat terlibat berpihak kepada mereka, katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing berjanji akan merujuk perkara tersebut kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas perayaan Gawai Dayak bagi mencari jalan penyelesaian.

Pada masa yang sama, beliau mahu agensi kerajaan berkaitan turun padang serta peka terhadap isu yang timbul.

Beliau, dalam pada itu, turut mengecam tindakan pencerobohan oleh syarikat perladangan terbabit yang disifatkan sebagai angkuh dan tidak berperikemanusiaan.

Malah, Tiong turut menggesa syarikat perladangan itu menghentikan segala aktiviti di tanah NCR milik penduduk rumah panjang berkenaan.

SPA Sarawak sasar lebih 1,000 pengambilan tahun ini


KUCHING: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Sarawak mensasarkan lebih 1,000 pengambilan bagi memenuhi kekosongan jawatan di peringkat perkhidmatan awam negeri pada tahun ini.


Setiausaha SPA Negeri Sarawak Fathi Haji Hambali berkata, pihak SPA negeri telah berusaha untuk memenuhi kekosongan yang sedia ada di peringkat awam negeri dalam tempoh dua tahun lepas.

Menurut beliau pada tahun 2018, SPA negeri telah mengisi sebanyak 994 kekosongan dalam pelbagai gred di jabatan-jabatan negeri berbanding tahun 2017 iaitu 709 kekosongan sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 35%.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Beliau menambah, kunjungan kepada Ketua Menteri merupakan kunjungan tahunan daripada pihak SPA negeri bagi memaklumkan status mengenai pengambilan jawatan kosong setiap tahun.

Peruntukan RM200 juta tambah baik jalan utama kawasan Tinjar



MARUDI: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM200 juta bagi melebar dan menurap batu di jalan utama kawasan Tinjar.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak YB Datu Dr Penguang Manggil berkata projek-projek ini merupakan projek yang diperlukan rakyat dalam menjadikan kehidupan lebih baik.

“Projek ini meliput jalan utama dari Pekan Lapok ke Long Aya di kawasan Tinjar di mana penduduk Kampung Long Jegan juga menggunakan jalan yang sama.

“Juga disediakan peruntukkan sebanyak RM33.6 juta untuk jalan di kampung-kampung dalam kawasan Tinjar melibatkan Kampung Long Jegan pada tahun depan,” katanya dalam ucapan sempena Pesta Balimay, Gawai Dayak 2019 yang diadakan di Kampung Long Jegan Tinjar, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi juga meminta Ketua Kaum Kampung Long Jegan Francis Ubi untuk menulis surat bagi memohon projek seperti yang diminta dalam ucapannya.

“Untuk memastikan setiap permohonan dapat diadakan, Ketua Kaum perlu mengemukakan permohonan bertulis dengan disertakan maklumat dan kosnya bagi memudahkan kelulusan nilai peruntukkan yang sewajarnya,” tambahnya.

Permohonan ini meliputi peruntukkan menabur batu di halaman 114 pintu rumah panjang untuk tempat parkir kereta, membaik pulih bangunan gereja yang sudah uzur, membaik pulih rumah panjang yang sudah uzur, menyediakan loji untuk bekalan air paip dan mengadakan solar untuk bekalan elektrik.

Pada majlis itu, Datu Dr Penguang mengumumkan peruntukkan RM10,000 kepada Biro Wanita Rh KK Francis Ubi bagi melaksanakan program dan aktiviti untuk golongan wanita.

Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Robert Laing, Presiden Persatuan Berawan Sarawak Datin Catherine Awing, Ketua Kaum Kampung Long Jegan KK Francis Ubi dan Ketua-ketua Masyarakat.-SarawakVoice

SATU LAGI KES RABIES DIREKODKAN DI SARAWAK

Satu lagi kes rabies dalam kalangan manusia direkodkan melibatkan seorang lelaki 26 tahun, menjadikan kes jangkitan rabies 17 kes termasuk 16 kematian.

Kementerian Kesihatan Malaysia, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Wad Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak.

Pada sabtu lepas, mangsa mula mengalami lemah badan dan sukar bernafas. Hasil pemeriksaan lanjut, mangsa mengalami kekeliruan, hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota tubuh badan menjadi lemah.

Mangsa juga mempunyai sejarah dicakar oleh anjing peliharaan namun tidak mendapatkan sebarang rawatan.

Pada pertengahan Mac lalu, anjing peliharaannya mati setelah menunjukkan gejala hypersalivation, unsteady gait dan hydrophobia.

KKM ingin menegaskan orang ramai supaya tidak mengambil anjing yang tidak diketahui status vaksinasi untuk dipelihara memandangkan Sarawak belum bebas daripada risiko jangkitan rabies.

Trofi Liga Europa milik Chelsea



Chelsea mudah menjinakkan Arsenal 4-1 pada aksi final di Stadium Olimpik Baku sebentar tadi. Foto oleh AFP


BAKU - Chelsea memastikan trofi Liga Europa dibawa pulang ke Stamford Bridge selepas mudah menjinakkan Arsenal 4-1 pada aksi final di Stadium Olimpik Baku sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, Eden Hazard meledak dua gol, sementara Olivier Giroud dan Pedro Rodriguez masing-masing menjaringkan satu gol.

Gol saguhati Arsenal dijaringkan oleh Alex Iwobi. - K! ONLINE

Liverpool tak rela putih mata lagi

SUKAN 

LONDON: Kegagalan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris membakar semangat bintang Liverpool untuk memenangi Kejuaraan Eropah keenam mereka apabila bertemu Tottenham pada final Liga Juara-Juara Sabtu ini.


Kemenangan ke atas Tottenham akan memberikan skuad kendalian Jurgen Klopp mahkota Liga Juara-Juara pertama sejak anak buah Rafael Benitez mengejutkan AC Milan pada tahun 2005 dalam kebangkitan paling epik.

“Keajaiban Istanbul” sentiasa dikenang peminat-peminat Liverpool di mana Steven Gerrard mencetus kebangkitan pasukannya selepas ketinggalan 3-0 di babak pertama.

Namun itu adalah kejuaraan terakhir Liverpool di pentas Eropah, manakala kemarau Liga Perdana Inggeris terus berpanjangan.

Ketika mereka mendahului Liga Perdana dengan kelebihan tujuh mata di pertengahan Februari, majoriti peminat
Liverpool di seluruh dunia yakin yang penantian 29 tahun mereka akan berakhir dan segelintir merasakan ia antara “harapan palsu” yang sering mereka lihat sebelum ini.

Kini Klopp dan anak buahnya semakin terdesak untuk menamatkan saingan musim ini dengan kilauan trofi berperstij Eropah itu yang sudah pasti mampu menutup mulut pengkritik.

“Setiap orang fokus untuk memenangi trofi, terutama selepas kami mengharungi tahun yang amat baik,” kata pemain tengah Georginio Wijnaldum.

“Ia musim yang baik dengan 97 mata dalam liga, tetapi malangnya kami tidak berupaya muncul juara, sebab itu kami mahu mengakhirinya dengan trofi.

“Pada perlawanan akhir musim ini, kami tidak dapat mengawal kedudukan liga kerana ia tidak terletak di tangan kami.

“Tetapi kali ini berbeza, ia adalah final, jadi kami perlu memberikan yang terbaik dan memenangi perlawanan.”

Kemenangan pada final tahun ini juga mampu mengubat duka tahun lalu di mana Liverpool tewas 3-1 kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara. – AFP
 

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...